
KUALA LUMPUR, 15 September – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkemas pelaksanaan Garis Panduan Permit Meletakkan Kerusi dan Meja di Luar Premis Restoran dan Kedai Makan (Permit KEJA) dengan memperkenalkan pelekat permit.
- Proses kelulusan kini desentralisasi melalui 11 Pejabat Cawangan DBKL, tertakluk kepada kesesuaian ruang luar premis.
- Kadar permit diturunkan kepada RM30 sebulan bagi setiap set kerusi dan meja, berbanding RM50 sebelum ini.
- DBKL menetapkan keluasan minimum 2.5 hingga 3 kaki untuk memastikan pergerakan pejalan kaki dan pengguna kerusi roda tidak terjejas.
- Permit baharu diberi kelulusan awal enam bulan untuk menilai pematuhan; tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap pelanggar.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, langkah itu bagi mempertingkat pemantauan terhadap penggunaan ruang awam di luar premis bagi memastikan pergerakan pejalan kaki dan pengguna kerusi roda tidak terjejas.
“Proses kelulusan permohonan baharu kini dilaksanakan secara desentralisasi menerusi 11 Pejabat Cawangan DBKL di seluruh Kuala Lumpur, tertakluk kepada kesesuaian ruang di luar premis masing-masing,” katanya
“Kadar permit dikenakan sebanyak RM30 sebulan berbanding RM50 sebelum ini untuk setiap set kerusi dan meja bagi tempoh setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Sidang Media Kerusi Meja (KEJA)di Wangsa Maju di ibu negara hari ini.
DBKL menetapkan keluasan minimum sekurang-kurangnya 2.5 hingga tiga kaki di luar kawasan restoran.
Menurut Datuk Seri Fadlun permit berkenaan perlu mendapat kelulusan pengurus kawasan yang telah dilantik di setiap parlimen.
Ia dapat menjimatkan masa para pengusaha restoran sekali gus membolehkan permit tersebut dapat dikeluarkan serta-merta tanpa perlu berurusan di Menara DBKL.
DBKL telah memperkenalkan garis panduan berkenaan sejak 2017 dengan lebih 100 permohonan diterima pada 2023 dan sebanyak 200 permohonan lagi pada 2024.
Setiap permohonan baharu diberikan kelulusan awal bagi tempoh enam bulan untuk memudahkan pihak DBKL menilai tahap pematuhan para pengusaha restoran sebelum mempertimbangkan sebarang pembaharuan permit.
Para pengusaha restoran yang ingkar dan melanggar peraturan dengan meletakkan kerusi dan meja di kawasan letak kereta akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.