
PUTRAJAYA, 15 September – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan lebih 9,000 kes kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam yang masih tertunggak dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
- SWCorp bekerjasama dengan AGC untuk percepatkan izin pendakwaan dan bersetuju adakan satu hari khas mingguan bagi prosiding kes sampah kecil.
- Sehingga 13 Sept, 16,037 NPK dikeluarkan; 2,525 mendapat izin pendakwaan, 1,264 kes disebut di mahkamah, 741 kes telah diputuskan.
- Pelaksanaan PKM: 486 pesalah selesai, 167 masih menjalani baki jam; hari ini 113 pesalah di 17 lokasi, lebih 98 peratus kes berkaitan puntung rokok.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Syahrul Nizam Saleh berkata, dua pendekatan diambil bagi mempercepatkan penyelesaian kes berkenaan, termasuk mendapatkan izin pendakwaan dan mewujudkan satu hari khusus setiap minggu untuk prosiding kes sampah kecil di mahkamah.
Katanya, SWCorp telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mempercepatkan proses mendapatkan izin pendakwaan supaya kes-kes berkenaan dapat dibicarakan di mahkamah.

“Pendakwa Raya Negeri telah diminta supaya kes-kes di bawah Akta 672 ini diberikan tumpuan untuk dipercepatkan bagi mendapatkan izin pendakwaan.
“Kami juga telah berunding dengan Ketua Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya dan bersetuju untuk mewujudkan satu hari khusus setiap minggu bagi mempercepatkan kes-kes di bawah kesalahan sampah kecil ini.
“Jadi kami berharap dengan dua pendekatan ini, tunggakan-tunggakan kes dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini,” katanya dalam sidang media Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-50 Secara Berkelompok di sini, hari ini.
Menurut Syahrul Nizam, setakat 13 September lalu, sebanyak 16,037 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan.
Daripada jumlah itu, 2,525 kes telah memperoleh izin pendakwaan, manakala 1,264 kes melalui proses sebutan di mahkamah dan 741 kes telah selesai diputuskan, termasuk pengenaan hukuman denda serta PKM.

Bagi pelaksanaan PKM pula, seramai 486 pesalah telah selesai menjalani hukuman, manakala 167 pesalah sedang menyempurnakan baki jam PKM seperti diperintahkan mahkamah.
Dalam perkembangan sama, seramai 113 pesalah menjalani hukuman PKM di 17 lokasi di seluruh negara hari ini.
Daripada jumlah itu, lebih 98 peratus membabitkan kesalahan membuang puntung rokok, manakala selebihnya melibatkan pembuangan bekas minuman dan tin minuman.