
JOHOR BAHRU, 15 September – Sebanyak RM278 juta dicadangkan bagi pembangunan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 2027, dengan tumpuan kepada infrastruktur, pengurusan banjir, kemudahan awam serta agenda bandar pintar.
- Peruntukan pembangunan meningkat 10 peratus berbanding 2026, mewakili kira-kira 42.8 peratus daripada keseluruhan belanjawan MBJB.
- Pecahan terbesar: jalan 19%, pengindahan bandar 18%, pengurusan banjir 17% termasuk penyelenggaraan parit dan saliran.
- Bandar pintar: 4% untuk Smart CCTV dan Smart Traffic Light, 3% untuk Smart City; 500 unit dipasang, tambahan 2,000 disasarkan.
- Pengecualian lesen tahun pertama untuk penjaja, RM690,000 untuk penambahbaikan MyAduan, dan peruntukan bagi projek Medan Niaga serta Taman Mini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, cadangan itu dibentangkan dalam Sesi Pembentangan Belanjawan Tahun 2027 Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata jumlah berkenaan meningkat 10 peratus berbanding 2026 dan mewakili kira-kira 42.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan MBJB yang dianggarkan RM649.95 juta, berbanding hasil RM650 juta.
Antara pecahan terbesar peruntukan pembangunan ialah 19 peratus bagi jalan raya, 18 peratus untuk pengindahan bandar dan landskap serta 17 peratus bagi pengurusan banjir termasuk penyelenggaraan parit dan saliran.
Sebanyak 11 peratus lagi diperuntukkan bagi lampu jalan dan lampu isyarat, manakala 10 peratus untuk kemudahan sukan dan rekreasi.
“Ini semua perkara yang rakyat berdepan setiap hari. Bila jalan rosak, lampu tidak berfungsi atau longkang tidak diselenggara, rakyat yang menerima kesannya terlebih dahulu.
“Jadi saya mahu keutamaan ini diterjemahkan kepada kerja di lapangan dan bukan tinggal sebagai angka dalam slaid pembentangan,” katanya.
Dalam aspek bandar pintar dan keselamatan, empat peratus daripada peruntukan pembangunan dikhususkan bagi peluasan Smart CCTV dan Smart Traffic Light, manakala tiga peratus lagi untuk Smart City serta pembangunan sistem.
Sebanyak 500 unit Smart CCTV kini dipasang di kawasan pentadbiran MBJB, dengan tambahan 2,000 unit disasarkan siap pada 2027.
MBJB turut memperuntukkan RM1.5 juta untuk menaik taraf Medan Niaga Bangsa Johor, selain RM4.7 juta bagi pembangunan Taman Mini Bangsa Johor Pantai Lido.
Dalam usaha memudahkan urusan rakyat, MBJB turut mencadangkan pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil serta menyediakan RM690,000 bagi penambahbaikan sistem MyAduan Johor.
Datuk Mohd Jafni berkata, setiap projek yang diluluskan perlu mempunyai tempoh pelaksanaan, pihak bertanggungjawab dan hasil yang jelas supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.