Sukan Asia 2026: Taufiq yakin Malaysia mampu raih enam emas

Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari bergambar bersama para penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan (kategori individu lelaki) pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2026 di Putrajaya /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 September – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari optimis kontinjen negara mampu mencapai sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran dibuat selepas penilaian dan perbincangan bersama persatuan sukan yang memberi komitmen penuh terhadap persiapan atlet.
  • Tekankan persiapan mental dan latihan teknikal bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik ketika menghadapi saingan.
  • Pastikan kebajikan atlet terpelihara, sediakan pelan kontingensi, pantau cuaca dan selaras SOP bersama Jepun, Majlis Sukan Negara serta wakil kita di sana.

Beliau berkata sasaran itu dibuat berdasarkan penilaian serta perbincangan bersama persatuan sukan yang turut memberikan komitmen penuh terhadap persiapan atlet.

“Sangat relevan dan insya-Allah kita mengharapkan yang terbaik. Kita tidak menetapkan sasaran tanpa berdasarkan apa-apa asas. Kita telah mengadakan penilaian dan perbincangan.

“Setiap persatuan sukan turut memberikan komitmen penuh. Justeru, saya sangat optimis dengan kekuatan atlet kita berdasarkan tempoh persiapan latihan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2026.

Dalam pada itu, Dr Taufiq menekankan kepentingan persiapan mental dan latihan teknikal bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik ketika menghadapi saingan.

“Kita sentiasa memastikan kebajikan atlet di sana terpelihara. Walaupun keadaan cuaca ketika ini agak tidak menentu, saya sentiasa memantau perkembangan bersama pihak tuan rumah, Jepun, Majlis Sukan Negara (MSN) serta wakil kita yang sudah berada di sana.

“Kita juga telah menyediakan pelan kontingensi dan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dikeluarkan oleh MSN,” katanya.

Dr Taufiq dijadual berangkat ke Jepun bagi memberikan sokongan kepada kontinjen negara sepanjang temasya yang berlangsung dari 18 hingga 24 September ini.

Sementara itu, APBN 2026 diadakan bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian belia Malaysia yang memberi impak kepada pembangunan negara.

Tahun ini, anugerah berkenaan mempertandingkan empat kategori utama iaitu Pertubuhan Belia, Individu Lelaki, Individu Wanita dan Emas Remaja Perdana, selain Anugerah Khas YB Menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.