
LAWAS, 14 September – Hospital Baharu Lawas dijangka memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan bagi penduduk di utara Sarawak, khususnya komuniti yang berdepan kekangan geografi dan jarak perjalanan untuk mendapatkan rawatan.
- Cabaran sempadan Lawas dengan Sabah dan Brunei menyukarkan akses rawatan kompleks, pasport dan jarak perjalanan menambah kesukaran.
- KKM akan meneliti sama ada kemudahan imbasan CT Scan dimasukkan dalam perancangan projek Hospital Lawas.
- KKM komited menambah baik kemudahan dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan semasa penduduk setempat.
- Hospital Baharu Lawas bernilai RM183 juta, menyediakan 76 katil, 4 katil HDU, unit hemodialisis, makmal, farmasi, kecemasan, pergigian, pediatrik.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata kedudukan Lawas yang bersempadan dengan Sabah dan Negara Brunei Darussalam menjadi antara cabaran dalam memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, terutama bagi kes yang memerlukan rawatan lebih kompleks.
Katanya, keperluan mendapatkan rawatan di luar Lawas, termasuk melalui Brunei, turut melibatkan urusan pasport selain jarak perjalanan yang jauh.
“Maka, jika seseorang memerlukan rawatan yang lebih kompleks, jika melalui Brunei, mereka perlu mempunyai pasport. Jarak perjalanan juga agak jauh dan keadaan itu merumitkan, terutama apabila pesakit perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan kemudahan imbasan CT Scan di Hospital Lawas dan akan meneliti sama ada kemudahan berkenaan telah dimasukkan dalam perancangan projek.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menambah baik kemudahan dan perkhidmatan di Hospital Lawas bagi memastikan kelengkapan yang disediakan memenuhi keperluan semasa penduduk setempat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Lawas (76 Katil), Reka dan Bentuk Fasa 2B: Kerja Bangunan dan Kerja Berkaitan – Tender Semula, di Lawas, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Program Jelajah Kesihatan Borneo penting bagi membolehkan KKM melihat sendiri situasi sebenar fasiliti kesihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar, termasuk Klinik Kesihatan Sundar.
Katanya, laporan di atas kertas tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya cabaran yang dihadapi petugas kesihatan dan masyarakat setempat.
“Sehubungan itu, pandangan dan maklum balas daripada kakitangan hospital serta masyarakat setempat akan diambil kira dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan di Lawas,” katanya.
Hospital Baharu Lawas bernilai RM183 juta itu menyediakan 76 katil, termasuk empat katil di Unit Kebergantungan Tinggi (HDU), selain Unit Hemodialisis.
Hospital berkenaan turut dilengkapi makmal, farmasi, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Unit Pergigian serta Unit Pediatrik.