KPDN bawa bahang Jom Malaysia, CONFEST 2026 ke Pulau Pinang

Foto KPDN

PUTRAJAYA, 14 September – Bahang Program Jom Malaysia dan Festival Pengguna (CONFEST) 2026 mula dirasai di Pulau Pinang apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melepaskan konvoi promosi dari Putrajaya menuju ke Batu Kawan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar sempurnakan sesi pelepasan Pasukan Promosi dan Hebahan Jom Malaysia.
  • Konvoi singgah di R&R terpilih untuk menyampaikan maklumat program dan berinteraksi secara langsung dengan orang ramai.
  • Konvoi menampilkan trak promosi, van berhias Jom Malaysia, Jommy ikon rasmi dan sokongan rakan strategik Grab melalui kenderaan GrabCar.
  • Jom Malaysia dan CONFEST 2026 di Pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan 17-20 Sept, program 10 pagi-10 malam, penglibatan rakan strategik dan komuniti.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar menyempurnakan sesi pelepasan Pasukan Promosi dan Hebahan Jom Malaysia bagi memperhebat promosi menjelang penganjuran program berkenaan di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, dari 17 hingga 20 September ini.

Konvoi promosi akan singgah di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih sepanjang perjalanan bagi menyampaikan maklumat program serta berinteraksi secara langsung dengan orang ramai.

Konvoi itu turut menampilkan pelbagai kenderaan termasuk trak promosi yang membawa bahan hebahan Jom Malaysia dan CONFEST 2026, selain van KPDN yang dihiasi identiti Jom Malaysia.

Turut memeriahkan konvoi ialah Jommy, ikon rasmi Jom Malaysia, manakala Grab selaku rakan strategik menyokong kempen menerusi penyertaan kenderaan GrabCar.

Festival Jom Malaysia yang dilancarkan pada 27 Jun lalu kini meneruskan siri jelajah selepas penganjuran di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan Sandakan, Sabah.

Kemuncak program di Pulau Pinang ialah Majlis Perasmian Program Jom Malaysia dan CONFEST 2026 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada 19 September, jam 8 malam.

Program empat hari itu berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan pelbagai aktiviti kepenggunaan, inisiatif KPDN serta penglibatan rakan strategik, pemain industri dan komuniti setempat.

KPDN mengajak warga Pulau Pinang dan negeri-negeri berhampiran hadir bersama keluarga bagi memeriahkan Jom Malaysia dan CONFEST 2026 di Batu Kawan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.