
PUTRAJAYA, 14 September – Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua yang sedang dibina di Turkiye untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka tiba di negara ini pada hujung tahun depan.
- Kapal pertama MPMS dijangka tiba pada Mac tahun depan.
- Menteri akan ke lokasi pembinaan hujung bulan ini untuk meninjau perkembangan kapal.
- Pembinaan aset baharu penting untuk memperkukuh keupayaan APMM melaksanakan penguatkuasaan dan menjaga keselamatan perairan negara.
- Penambahan aset meningkatkan kesiapsiagaan APMM menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Kapal MPMS pertama pula dijadualkan tiba lebih awal, iaitu pada Mac tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan ke Istanbul pada hujung bulan ini bagi meninjau sendiri perkembangan pembinaan aset berkenaan.
“Saya akan ke Istanbul hujung bulan ini untuk melihat kapal yang sedang dibina itu. Kapal pertama dijangka tiba pada Mac tahun depan, manakala kapal kedua pula pada hujung tahun depan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Menurut Datuk Seri Saifuddin, pembinaan aset baharu itu penting bagi memperkukuh keupayaan APMM dalam melaksanakan penguatkuasaan serta menjaga keselamatan perairan negara.
Penambahan aset berkenaan juga akan meningkatkan kesiapsiagaan APMM dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.