WSC Shanghai 2026 bukan sekadar buru emas pertama negara

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 14 September – Penyertaan Malaysia pada WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 bukan sekadar untuk memburu pingat emas pertama negara, malah sebagai medan membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini merupakan laluan kerjaya utama yang mampu melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan kontinjen diharapkan mengubah persepsi bahawa TVET masih dianggap pilihan kedua.
  • TVET kini tawarkan prospek kerjaya luas, peluang pendapatan tinggi dan keusahawanan berasaskan kemahiran teknologi.
  • Persediaan rapi dan kejayaan serantau memberi asas keyakinan untuk sasaran pingat di WSC Shanghai.
  • Misi bukan semata podium tetapi untuk mengangkat martabat TVET dan sokong pembangunan ekonomi serta masa depan generasi muda.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kejayaan kontinjen negara di Shanghai kelak diharap dapat mengubah persepsi masyarakat yang masih menganggap TVET sebagai pilihan kedua selepas laluan akademik.

“TVET bukan lagi peluang kedua atau kelas kedua.

“Kita ingin menyatakan ia sudah berubah. TVET sekarang ini laluan kerjaya utama.”katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai program Selamat Pagi Malaysia disini..

Menurutnya, TVET kini menawarkan prospek kerjaya yang lebih luas, termasuk peluang memperoleh pendapatan tinggi serta menjadi usahawan berasaskan kemahiran dan teknologi.

Beliau yang juga merupakan Chef de Mission kontinjen Malaysia berkata, pencapaian di pentas antarabangsa penting bagi memberi suntikan semangat kepada lebih 500,000 pelajar TVET di pelbagai institusi kemahiran seluruh negara.

Malaysia akan diwakili 22 peserta dalam 21 bidang kemahiran pada WSC Shanghai 2026, dengan negara menyasarkan pingat emas pertama sejak menyertai pertandingan berkenaan pada 1993.

Ujar beliau, persediaan rapi telah dilakukan bagi memastikan peserta negara berada pada tahap terbaik sebelum berdepan saingan antarabangsa.

Katanya, momentum kejayaan Malaysia di pertandingan kemahiran peringkat serantau turut menjadi asas keyakinan untuk mencipta pencapaian lebih besar di Shanghai.

Malaysia sebelum ini muncul juara keseluruhan WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan kutipan 15 pingat emas, manakala pada WorldSkills Asia Taipei 2025 negara menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan lima emas, lima perak dan empat gangsa serta tiga Medallion for Excellence.

Tambah beliau, pencapaian itu menunjukkan peserta TVET negara mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan menjadi bukti bahawa bidang kemahiran mempunyai standard serta nilai ekonomi yang tinggi.

WSC Shanghai 2026 dijadual berlangsung dari 22 hingga 27 September di National Exhibition and Convention Center Shanghai, dengan lebih 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah bertanding dalam 64 bidang kemahiran.

Dalam masa sama, kejayaan di Shanghai dilihat mampu memperkukuh usaha menarik lebih ramai golongan muda memilih TVET sebagai pilihan kerjaya, khususnya dalam bidang teknikal dan kemahiran yang semakin diperlukan industri.

Justeru, misi kontinjen negara di Shanghai bukan hanya mengenai podium dan pingat, sebaliknya membawa aspirasi lebih besar untuk mengangkat martabat TVET serta membuktikan kemahiran teknikal mampu menjadi asas kejayaan generasi muda dan pembangunan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.