
HONG KONG, 14 September – Banjaran Himalaya semakin menghampiri tahap kritikal susulan pencairan glasier berlaku lebih pantas berbanding sedekad lalu, sekali gus mengancam bekalan air dan kehidupan jutaan penduduk di kawasan sekitarnya.
- Rantau Himalaya dijangka mencapai keadaan "peak water" menjelang pertengahan abad, menyebabkan aliran sungai mula menurun selepas paras maksimum.
- Runtuhan glasier di sempadan Nepal-Tibet mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar; sekurang-kurangnya 1,300 maut, lebih 5,300 hilang.
- Tasik glasier yang terbentuk semakin tidak stabil, dihalang timbunan batu dan ais, meningkatkan risiko limpahan serta banjir mendadak ke kawasan hiliran.
- Pengurangan pencairan glasier akan menurunkan aliran sungai, menjejaskan bekalan air, pertanian dan kehidupan masyarakat hiliran.
Satu kajian yang diterbitkan bulan ini memberi amaran, rantau Himalaya dijangka mencapai keadaan “kemuncak air” atau peak water menjelang pertengahan abad ini, iaitu ketika aliran sungai mula menurun selepas mencapai tahap maksimum akibat pencairan glasier.
Amaran itu dikeluarkan selepas runtuhan glasier di kawasan sempadan Nepal dan Tibet pada akhir Ogos mencetuskan kejadian tanah runtuh serta banjir besar di kawasan lembah.
Sekurang-kurangnya 1,300 orang disahkan maut manakala lebih 5,300 lagi masih hilang di Nepal dan wilayah Tibet, China.
Kajian itu turut mendapati, apabila glasier semakin mengecil, ia meninggalkan tasik yang terbentuk daripada air cairan glasier.
Tasik berkenaan boleh menjadi tidak stabil kerana airnya hanya ditahan oleh timbunan batu dan ais, sekali gus meningkatkan risiko limpahan air secara tiba-tiba ke kawasan lembah yang didiami jutaan penduduk.
Kajian itu dijalankan oleh Systemiq bersama Integrated Mountain Initiative, International Centre for Integrated Mountain Development dan G.B. Pant National Institute of Himalayan Environment di India.
Menurut kajian itu lagi, pencairan glasier di Himalaya semakin pantas sejak beberapa dekad lalu.
Namun, daripada kira-kira 40,000 glasier di seluruh kawasan Hindu Kush-Himalaya, hanya 21 kini dipantau secara langsung di lapangan.
Kawasan pergunungan itu merentasi lapan negara, dari Afghanistan hingga Myanmar.
Di India sahaja, hampir 200 tasik glasier dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk 56 yang dikategorikan sebagai berisiko sangat tinggi.
Keadaan itu bermakna jutaan penduduk di kawasan hiliran berdepan risiko sekiranya tasik glasier tersebut pecah atau melimpahkan air secara tiba-tiba.
Kajian turut memberi amaran bahawa apabila sumber air daripada pencairan glasier mula berkurangan, aliran sungai yang bergantung kepada sumber itu juga akan menurun.
Perubahan tersebut boleh memberi kesan besar terhadap bekalan air, pertanian dan kehidupan penduduk di rantau berkenaan.
Wilayah Himalaya amat penting kepada ekonomi India kerana ia menyumbang kepada lebih 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu, selain menjadi sumber air kepada ratusan juta penduduk.
Walaupun hanya meliputi kira-kira 18 peratus daripada keluasan India, kawasan Himalaya menyumbang sekitar 35 peratus daripada keseluruhan bencana alam yang berlaku di negara itu. – REUTERS