Sukan Asia berdepan isu penginapan

Sukan Asia Aichi-Nagoya

SEOUL, 14 September- Kekurangan penginapan menjelang Sukan Asia di Jepun minggu ini memaksa sebahagian pegawai Filipina ditempatkan di beberapa hotel dan Airbnb sekitar Aichi-Nagoya, manakala kontinjen Korea Selatan turut melaporkan masalah sama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Video tular pemain Korea menunjukkan sinki bocor dan lantai kabin penginapan basah.
  • Penganjur tidak sediakan perkampungan atlet; guna kapal persiaran, kabin kontena kayu sementara dan hotel.
  • Ratusan atlet dipindahkan sementara susulan hujan lebat, kembali selepas arahan pemindahan ditarik balik dua jam kemudian.
  • Lebih 17,000 atlet dan pegawai dijangka; kapal Costa Serena akan menempatkan 4,000 hingga 5,000 peserta.

Seorang pegawai Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea Selatan (KSOC) berkata kekurangan itu turut melibatkan delegasi dari seluruh dunia di kawasan termasya berkenaan.

“Ketika ini, terdapat kekurangan penginapan yang serius bukan sahaja untuk keseluruhan kontinjen Korea Selatan, malah delegasi dari seluruh dunia di kawasan Aichi-Nagoya,” katanya.

Keadaan penginapan turut menimbulkan kebimbangan selepas pemain bola keranjang Korea Selatan, Byeon Jun-hyeong memuat naik video di media sosial yang menunjukkan sinki bocor dan lantai basah di kabinnya.

Tangkap layar video tular yang dimuat naik pemain bola keranjang Korea Selatan, Byeon Jun-hyeong, menunjukkan air bocor di bilik mandi penginapan kontena pasukan pada Sukan Asia, disertai kapsyen “Save me…”

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Keranjang Korea, Jung Jae-yong berkata beliau amat tidak berpuas hati dengan keadaan kabin yang menjadi penginapan pasukan bola keranjang lelaki Korea Selatan.

“Berdasarkan pengalaman saya, ini adalah yang terburuk pernah berlaku.

“Atlet yang mempunyai ketinggian lebih dua meter tidak dapat meluruskan kaki di atas katil. Ini tidak munasabah,” katanya sambil mendakwa penganjur masih belum memberi maklum balas terhadap isu berkenaan.

Dalam masa sama, Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), Abraham Tolentino berkata semua atlet negara itu telah disediakan tempat penginapan, namun sebahagian pegawai termasuk jurulatih dipindahkan ke hotel berbeza dan Airbnb.

Minggu lalu, ratusan atlet turut dipindahkan sementara dari penginapan mereka susulan hujan lebat luar biasa yang melanda Nagoya.

Bagaimanapun, mereka kembali selepas arahan pemindahan ditarik balik kira-kira dua jam kemudian.

Lebih 17,000 atlet dan pegawai dijangka menyertai temasya berkenaan, jumlah yang lebih tinggi berbanding Sukan Olimpik.

Penganjur sebelum ini menjangkakan kira-kira 15,000 peserta.

Penganjur Sukan Asia tidak menyediakan perkampungan atlet khusus sebaliknya menggunakan kapal persiaran, kabin kontena sementara dan hotel bagi menempatkan peserta.

Kapal persiaran Costa Serena dijadual tiba di Nagoya pada Selasa dan akan menempatkan antara 4,000 hingga 5,000 atlet.

Peserta lain akan ditempatkan di hotel termasuk di Tokyo yang menjadi lokasi acara renang, terjun dan ekuestrian.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, dengan beberapa acara telah bermula lebih awal. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.