Bergson, Tapp mampu jadi ‘senjata baharu’ Harimau Malaya – Penganalisis

Bergson da Silva dan Brad Tapp / Facebook: JOHOR Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 14 September- Pengesahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi Bergson da Silva dan Brad Tapp mewakili Malaysia memberikan lebih banyak pilihan kepada Harimau Malaya terutama dalam usaha memperkemas jentera serangan dan pertahanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bergson tajam dan sentiasa dahagakan gol; bijak cari ruang, perlukan pengumpan tengah yang tepat untuk maksimakan keupayaannya.
  • Tapp pemain muda bertenaga dengan asas permainan baik; faham prinsip pertahanan namun perlu biasakan diri dengan intensiti antarabangsa.
  • Keserasian penting; kehadiran pemain berkualiti bukan penyelesaian mutlak, jurulatih mesti nilai kombinasi serta kebolehan bekerjasama.
  • Kelab wajar berasa bangga melepaskan pemain; pengorbanan itu penting untuk perkembangan pasukan kebangsaan dan mengharumkan nama negara.

Penganalisis sukan, Azlan Johar berkata sekiranya diberi peluang menyarung jersi kebangsaan, Bergson yang juga penyerang Johor Darul Ta’zim mampu menjadi ancaman utama di hadapan gawang manakala Tapp pula mempunyai ciri yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh benteng skuad negara.

Azlan berkata Bergson yang terkenal dengan ketajamannya di hadapan gawang, mempunyai ciri penting yang diperlukan Malaysia iaitu sentiasa dahagakan jaringan, selain bijak mencari ruang untuk melepaskan percubaan.

“Dia sentiasa teruja menjaringkan gol. Budak ini sentiasa dahagakan gol. Pemain seperti ini, kita kena ada pengumpan yang baik untuk Bergson,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pergerakan Bergson yang gemar mencari ruang perlu dibantu pemain tengah atau pengumpan yang mampu menghantar bola dengan tepat bagi memaksimumkan keupayaan penyerang kelahiran Brazil itu.

Azlan bagaimanapun mengingatkan kehadiran seorang pemain berkualiti tidak semestinya menjadi penyelesaian mutlak kepada semua masalah pasukan kebangsaan, sebaliknya aspek keserasian dan kombinasi perlu diberikan perhatian.

Sementara itu, Azlan menyifatkan Tapp, 25, sebagai pemain muda yang memiliki tenaga serta asas permainan yang tinggi, selain berpotensi dimanfaatkan sepenuhnya dalam tugas antarabangsa namun masih perlu membiasakan diri dengan intensiti bola sepak antarabangsa.

“Bila kita bermain di peringkat antarabangsa, bola belum sampai kepada kita, mereka sudah dekat dengan kita. Pemain yang mewakili negara rata-rata mempunyai kecerdikan luar biasa,” katanya.

Dalam aspek pertahanan, Azlan berkata Tapp sudah menunjukkan pemahaman terhadap prinsip asas bertahan dan mempunyai pengetahuan permainan yang tinggi, sekali gus menjadikannya pilihan yang boleh dipertimbangkan untuk memperkukuh benteng Harimau Malaya.

Azlan ketika mengulas mengenai peluang kedua-dua pemain itu untuk terus berada dalam kesebelasan utama berkata keputusan itu tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan reputasi, sebaliknya perlu melihat sejauh mana mereka mampu membentuk keserasian dengan rakan sepasukan.

Beliau berkata pemain berkualiti tinggi lazimnya tidak memerlukan tempoh terlalu lama untuk menyesuaikan diri, namun pemain lain juga perlu memainkan peranan dengan menunjukkan kemampuan untuk bekerjasama dengan Bergson dan Tapp.

“Pemain-pemain lain pula kena tunjukkan kepada jurulatih bahawa mereka juga boleh bekerjasama dengan Bergson dan Tapp,” katanya.

Azlan turut menegaskan matlamat lebih besar setiap pemain dan pengurusan bola sepak bukan sekadar kejayaan di peringkat kelab, sebaliknya memastikan pasukan kebangsaan terus berkembang dan mengharumkan nama negara.

Beliau berkata jika sesebuah pasukan memiliki pemain yang mampu membantu Harimau Malaya, pengorbanan untuk melepaskan mereka demi tugas negara seharusnya menjadi satu kebanggaan.

“Kalau saya ada pemain yang bagus dalam pasukan saya, saya lepaskan pemain saya untuk negara. Itulah pengorbanan yang saya nak. Kita kena ada jiwa itu, baru betul,” katanya.

FIFA sebelum ini mengesahkan Bergson dan Tapp masing-masing layak mewakili skuad kebangsaan selepas badan induk bola sepak dunia itu selesai meneliti status kelayakan kedua-dua pemain berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan.

Pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan negara kendalian Tan Cheng Hoe menjelang persiapan menghadapi edisi sulung Piala ASEAN FIFA di Jakarta hujung bulan ini. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.