
JAKARTA, 14 September – Indonesia menempatkan 53 pesawat dalam keadaan siap siaga bagi menangani kebakaran hutan dan tanah meskipun merekodkan penurunan ketara jumlah titik panas di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat, dengan hampir 600 titik panas masih dikesan di seluruh negara ketika risiko kebakaran berterusan.
- 592 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan; 197 di enam wilayah keutamaan, Kalimantan Tengah catat jumlah tertinggi.
- Penurunan titik panas dianggap positif tetapi kebakaran belum tentu padam; cuaca kering, angin dan bahan mudah terbakar boleh mempercepat keadaan.
- 34 pesawat dipakai untuk pengeboman air, 19 untuk rondaan serta pengubahsuaian cuaca; Chinook Jepun bantu pengeboman air kapasiti besar.
Ketua Biro Perhubungan Awam dan Kerjasama Luar Negeri Kementerian Kehutanan Dr Ristianto Pribadi berkata penurunan jumlah titik panas merupakan perkembangan yang agak positif, namun mengingatkan bahawa ancaman kebakaran masih wujud.
“Penurunan jumlah titik panas tidak bermakna semua kebakaran telah dipadamkan. Situasi boleh berubah dengan cepat, terutamanya ketika cuaca kering, angin kencang dan bahan mudah terbakar masih terdapat di permukaan,” katanya menerusi hantaran terbaharu kementerian di media sosial pada Isnin.
Menurut hantaran kementerian di media sosial, pemantauan setakat Ahad malam mengesan 592 titik panas berkeyakinan tinggi di seluruh negara, termasuk 197 di enam wilayah keutamaan.
Kalimantan Tengah merekodkan 89 titik panas, diikuti Sumatera Selatan dengan 49, Kalimantan Selatan 28, Jambi 17 dan Kalimantan Barat 14, manakala tiada titik panas dikesan di Riau.
Ristianto berkata operasi pemadaman kebakaran di darat dan udara diteruskan, dengan 53 pesawat berada dalam keadaan siap siaga, termasuk 34 bagi operasi menerusi kaedah water bombing serta 19 bagi rondaan udara dan operasi modifikasi cuaca.
Beliau berkata operasi dari udara itu turut diperkukuh dengan tiga helikopter CH-47 Chinook dari Jepun bagi menyokong kaedah water bombing berkapasiti besar di kawasan yang memerlukan bantuan tambahan untuk memadamkan kebakaran.
Beliau berkata operasi modifikasi cuaca turut diteruskan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, yang menghasilkan anggaran 87.9 juta meter padu air hujan di Kalimantan Barat dan 22.9 juta meter padu di Kalimantan Tengah setakat 11 Sept. – BERNAMA