KDN mahu muktamad kadar baharu elaun RELA, umum elaun RELASIS

Foto RTM

PUTRAJAYA, 14 September – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu memuktamadkan kadar baharu elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam tempoh terdekat, susulan kadar semasa RM8 sejam yang disifatkan tidak lagi munasabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan lanjut akan diteruskan dengan Kementerian Kewangan susulan perbincangan Belanjawan.
  • Berdasarkan lapan jam sehari selama 24 hari, anggota RELA hanya menerima kira-kira RM1,536 sebulan, lebih rendah daripada gaji minimum RM1,700.
  • Tempoh penugasan boleh mencecah lapan hingga 12 jam sehari dan kebajikan anggota RELA menjadi keutamaan kementerian.
  • Elaun RELASIS di universiti diumumkan segera; boleh dilaksanakan melalui penyelarasan peruntukan tanpa memerlukan peruntukan tambahan Jemaah Menteri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rundingan lanjut akan diteruskan dengan Kementerian Kewangan susulan perbincangan Belanjawan yang diadakan baru-baru ini.

“RM1,700 adalah kadar gaji minimum. Mereka bertugas selama 24 hari, RM8 satu jam. Kalau lapan jam sehari, RM64, darab 24 hari, bawah daripada gaji minimum. Mulakan, jangan ambil masa panjang, sebaik-baiknya tahun kewangan yang terdekat ini laksanakan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.

Beliau mahu kadar baharu itu dilaksanakan seawal tahun kewangan terdekat bagi memastikan kebajikan anggota RELA terus terbela.

Katanya, berdasarkan penugasan lapan jam sehari selama 24 hari, anggota RELA hanya menerima kira-kira RM1,536 sebulan, lebih rendah daripada kadar gaji minimum RM1,700.

Malah, tempoh penugasan anggota RELA boleh mencecah antara lapan hingga 12 jam sehari.

Datuk Seri Saifuddin berkata, kebajikan anggota RELA dan pasukan sukarelawan di bawah agensi KDN menjadi antara keutamaan kementerian ketika ini.

Ketika ini, terdapat kira-kira 135,000 hingga 140,000 anggota RELA di seluruh negara, dengan sekitar 35,000 hingga 40,000 daripadanya terlibat dalam pelbagai penugasan.

“Saya mengumumkan supaya satu elaun diberikan kepada RELASIS di universiti berkenaan. Yang itu kita segera, jangan tangguh lagi. Berdasarkan peruntukan yang kita kena buat penyesuaian, saya yakin ia boleh dibuat,” katanya.

Menurutnya lagi, pembayaran elaun itu boleh dilaksanakan menerusi penyelarasan peruntukan sedia ada, selain mengambil kira keperluan berkenaan dalam peruntukan tahun berikutnya.

Beliau menegaskan, pelaksanaan pemberian elaun RELASIS itu tidak memerlukan peruntukan kewangan tambahan yang memerlukan keputusan Jemaah Menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.