
QUITO, 14 September- Ecuador memulakan persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2030 dengan melantik bekas jurulatih River Plate, Marcelo Gallardo sebagai ketua jurulatih baharu, menurut Persekutuan Bola Sepak Ecuador (FEF) pada Ahad.
- Menggantikan Sebastian Beccacece yang berundur selepas Ecuador tewas kepada Mexico pada pusingan pertama kalah mati Piala Dunia.
- Jurulatih itu pernah menjulang 14 trofi bersama River Plate termasuk dua Copa Libertadores.
- Tempoh kedua beliau di River Plate berakhir pada Februari selepas prestasi kurang memberangsangkan tanpa trofi.
- Ecuador semakin mengukuh; tempat kedua kelayakan 2026 dan dibarisi pemain seperti Piero Hincapie dan Willian Pacho.
Gallardo, 50, menggantikan rakan senegaranya, Sebastian Beccacece yang berundur selepas Ecuador tewas kepada Mexico pada pusingan pertama kalah mati Piala Dunia tahun ini.
Gallardo pernah membawa kelab Argentina, River Plate meraih pelbagai kejuaraan namun belum pernah mengendalikan pasukan kebangsaan.
“Kami memilih Marcelo Gallardo berdasarkan kejayaan yang diraihnya, tetapi lebih penting lagi berdasarkan apa yang diwakilinya.
“Selamat datang ke Ecuador, Marcelo,” kata Presiden FEF, Francisco Egas dalam video yang dimuat naik di media sosial.
Gallardo merupakan jurulatih paling berjaya dalam sejarah River Plate selepas memenangi 14 trofi dalam tempoh pertama bersama kelab itu termasuk dua kejuaraan Copa Libertadores.
Bagaimanapun, tempoh keduanya bersama River Plate tidak membuahkan hasil apabila beliau berundur pada Februari selepas prestasi kurang memberangsangkan dan gagal memenangi sebarang trofi tambahan.
Ecuador semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pasukan utama bola sepak Amerika Selatan selepas menduduki tempat kedua dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026, di belakang Argentina.
Pasukan itu turut dibarisi pemain antarabangsa seperti Piero Hincapie dari Arsenal dan Willian Pacho yang beraksi bersama Paris Saint-Germain. -AFP