
PUTRAJAYA, 14 September – Pengajian turath yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu kekal relevan dalam membimbing dan membentuk akhlak, fikrah serta adab umat Islam masa kini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
- Sambutan menggalakkan perasmian festival di Masjid Putra; hampir 7,000 jemaah hadir malam tadi.
- Pengunjung termasuk delegasi dari Singapura, Brunei, Thailand dan beberapa negara Islam lain.
- Program utama melibatkan pengajian kitab al-Hikam, Festival Buku Islami, pameran busana dan pelbagai program ilmu hingga 20 September.
- Edisi keempat, pertama kali di peringkat nasional, bertujuan memperkukuh tradisi keilmuan dan memelihara khazanah turath.
Beliau berkata, perkara itu terbukti menerusi sambutan menggalakkan terhadap Festival Turath Islami Malaysia 2026 apabila hampir 7,000 umat Islam membanjiri Masjid Putra di sini malam tadi, bagi menyaksikan perasmian festival berkenaan.
Katanya, minat terhadap pengajian turath bukan sahaja ditunjukkan umat Islam di Malaysia, malah turut mendapat sambutan dari negara-negara jiran.
“Sebenarnya sudah ada kesedaran dan minat umat Islam di Malaysia dan juga di negara-negara jiran untuk mengikuti kuliah pengajian turath ini. Turath ini adalah tradisi dan warisan kita walaupun ia sudah lama. Seperti kitab al-Hikam yang kita pilih pada tahun ini, yang telah dibacakan dan diajarkan sejak abad ke-17 lagi di tanah air kita.
“Tetapi ia terus relevan kerana memberikan bimbingan dan kekuatan kepada umat Islam untuk menghayati, memahami dan memaknai ajaran Islam, selain membentuk akhlak, fikrah dan adab,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Turath Islami Malaysia 2026 di Masjid Putra, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, manakala tausiyah khas disampaikan oleh Ustaz Mohamad Wadi Annnuar Ayub.
Festival berkenaan memasuki edisi keempat selepas dianjurkan selama tiga tahun di Selangor sebelum dibawa ke peringkat nasional buat kali pertama tahun ini.
Dr Zulkifli berkata, festival itu turut menghimpunkan masyarakat dari seluruh negara selain menerima kehadiran jemaah dari Singapura, Brunei, Thailand dan beberapa negara Islam lain.
Antara pengisian utama festival ialah pengajian kitab al-Hikam, selain Festival Buku Islami, pameran busana serta pelbagai program ilmu yang berlangsung sehingga 20 September.
Penganjur menyasarkan lebih 100,000 pengunjung hadir sepanjang lapan hari penganjuran festival berkenaan.
Festival itu diharap terus menjadi wadah memperkukuh tradisi keilmuan Islam serta memastikan khazanah turath kekal dipelajari, difahami dan dihayati oleh generasi masa kini.