
KANGAR, 13 September – Pemilik dua kenderaan yang rosak akibat dihempap pokok tumbang di Taman Sena, di sini, boleh mengemukakan tuntutan melalui perlindungan insurans Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs), tertakluk kepada syarat polisi.
- Kejadian dikategorikan sebagai bencana alam.
- Insiden dipercayai akibat faktor alam sekitar dan cuaca tidak menentu menyebabkan kegagalan struktur pokok.
- Kakitangan Jabatan Landskap dikerahkan untuk pemeriksaan awal, alihkan bahagian pokok tumbang, dan laksanakan pembersihan.
- Pemeriksaan visual, rekod gambar disediakan; penilaian teknikal oleh arboris disarankan untuk tentukan punca dan tindakan pokok berisiko.
Yang Dipertua MPNPs, Affendi Rajini Kanth berkata perlindungan berkenaan meliputi kawasan awam atau rizab yang berada di bawah penyelenggaraan dan pengurusan MPNPs.
“Kejadian ini boleh dikategorikan sebagai bencana alam dan walaupun tidak melibatkan kehilangan nyawa, ia menyebabkan kerosakan kepada dua kenderaan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Menurut Affendi, insiden dipercayai berlaku akibat faktor alam sekitar termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga mengakibatkan pokok berkenaan mengalami kegagalan struktur dan tumbang secara tiba-tiba.
Sejurus menerima maklumat kejadian, kakitangan Jabatan Landskap, Pelancongan dan Seni Taman MPNPs dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal serta mengalihkan bahagian pokok yang tumbang.
“Kerja cantasan terhadap dahan yang patah dan berisiko serta pembersihan kawasan turut dilaksanakan bagi memastikan laluan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Pemeriksaan visual turut dilakukan terhadap pokok berhampiran, manakala rekod dan gambar disediakan bagi tujuan laporan serta rujukan lanjut.
Beliau berkata penilaian teknikal oleh arboris atau pakar terlatih juga wajar dilaksana bagi mengenal pasti punca serta keadaan struktur pokok, selain menentukan tindakan bersesuaian terhadap pokok berisiko.