Banteras dadah: Polis Sarawak perkukuh kerjasama dengan masyarakat

Datuk Mohamad Zainal (dua dari kiri) bergambar pada Sesi Dialog Siri 2/2026 PDRM Kontinjen Sarawak di sini, semalam. / Foto RTM

LAWAS, 13 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh kerjasama dengan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah berkaitan dadah di Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkongsian maklumat masyarakat penting untuk membantu tindakan pencegahan dan penguatkuasaan lebih berkesan.
  • Usaha membanteras dadah mesti dilaksanakan secara berterusan; tangkapan harian membantu mengurangkan jenayah lain.
  • Jumlah tangkapan tinggi mencerminkan penguatkuasaan konsisten, bukan semestinya peningkatan kegiatan dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata perkongsian maklumat daripada masyarakat penting bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

“Dengan adanya bantuan dan perkongsian masyarakat dan wakil rakyat dan juga agensi berkaitan, kita dapat wujudkan masyarakat aman sejahtera.

“Saya yakin walaupun tidak mampu secara 100 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan masalah ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Dialog Siri 2/2026 PDRM Kontinjen Sarawak di sini, semalam.

Dalam masa sama, Datuk Mohamad Zainal berkata usaha membanteras dadah perlu dilaksana secara berterusan kerana tindakan itu diyakini mampu membantu menurunkan kadar jenayah lain.

“Sejak saya berada di negeri Sarawak ini, saya mahu setiap hari perlu ada tangkapan.

“Itu yang penting. Bila kita menggempur kes-kes dadah ini, kes-kes jenayah yang lain boleh turun secara drastik,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sebanyak 285 kes berkaitan dadah direkodkan di daerah berkenaan membabitkan 291 tangkapan.

Menurut beliau lagi, jumlah tangkapan yang tinggi tidak semestinya menunjukkan kegiatan dadah semakin serius, sebaliknya mencerminkan tindakan penguatkuasaan yang dilaksana secara konsisten.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.