
KUCHING, 12 September – Semua sekolah rendah dan menengah di bawah 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak akan beroperasi seperti biasa Isnin ini susulan perkembangan terkini trend bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).
- Sekolah di bawah PPD Serian dan Lubok Antu masih ditutup sehingga bacaan IPU di bawah 200.
- Hentikan aktiviti luar jika IPU >100, tutup jika IPU >200, dan guru kakitangan tidak perlu hadir jika IPU melebihi 500.
- KPM bersama NADMA akan mengagihkan pelitup muka kepada murid, guru dan kakitangan; ibu bapa boleh tidak menghantar anak dan perlu maklumkan sekolah.
Kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak memaklumkan, ia melibatkan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Kanowit, Julau, Meradong, Bintulu dan Tatau/Sebauh.
Bagaimanapun, sekolah di bawah PPD Serian dan Lubok Antu masih ditutup sementara sehingga kedua-dua daerah merekodkan bacaan IPU di bawah 200.
“Sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah perlu ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.
“Bagi bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan sekolah tidak perlu hadir ke sekolah,” katanya.
Beliau menambah, pembukaan semula sekolah pula tertakluk kepada bacaan IPU di bawah 200 serta mengambil kira perkembangan semasa dan saranan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan pelitup muka kepada murid, guru dan kakitangan sekolah yang dikenal pasti terjejas teruk akibat jerebu dalam masa terdekat.
Ibu bapa atau penjaga juga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan dan memaklumkan perkara tersebut kepada sekolah.