BAM pertimbang insentif khas bagi emas Sukan Asia

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 12 September – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada pemain kebangsaan sekiranya berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas badminton pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM akan meneliti insentif berdasarkan kemampuan kewangan dan sokongan penaja.
  • Insentif tambahan akan melengkapkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kerajaan.
  • Terakhir Malaysia raih emas badminton Sukan Asia melalui gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Doha 2006.
  • Tengku Datuk Seri Zafrul akan bertemu pemain pada Isnin; BAM harap mereka fokus penuh, dan ada sasaran dalaman.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cadangan itu akan diteliti berdasarkan kemampuan kewangan badan induk berkenaan, selain mendapatkan sokongan daripada barisan penaja.

Katanya, insentif tambahan itu akan menjadi pelengkap kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang disediakan kerajaan kepada pemenang pingat.

“Pihak kerajaan akan bagi. Cuma soalannya sama ada BAM, kita akan tengok kepada kemampuan kita pada masa itu. Buat masa ini belum ada apa-apa perbincangan, tetapi saya fikir ini satu idea yang baik dan kita akan lihat.

“Kita juga akan bercakap dengan penaja-penaja yang ada di BAM kerana biasanya mereka juga akan beri insentif. Mungkin kita boleh bincang dengan mereka, kemudian BAM akan lihat apa yang kita mampu, terutama sekali untuk pingat emas,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara badminton Sukan Asia menerusi gandingan beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi Doha 2006.

Mengakui penantian selama dua dekad itu cukup panjang, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata BAM akan turut berbincang dengan penaja bagi mempertimbangkan ganjaran tambahan sekiranya pemain berjaya membawa pulang emas dari Aichi-Nagoya.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan pemain yang bakal membawa cabaran negara ke Sukan Asia pada Isnin ini dan berharap mereka dapat memberikan fokus sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik buat Malaysia.

BAM tidak menetapkan sasaran pingat secara terbuka bagi temasya berkenaan, namun Tengku Datuk Seri Zafrul mengakui badan induk itu mempunyai sasaran dalaman yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.