
KUALA LUMPUR, 12 September – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus bertegas dalam soal disiplin pemain, termasuk tidak membenarkan mereka yang gagal mematuhi syarat ditetapkan daripada beraksi di peringkat antarabangsa.
- Beberapa pemain sudah diberi amaran; BAM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika disiplin terus gagal dipatuhi.
- Disiplin penting supaya pemain senior menjadi teladan kepada pemain muda dan membentuk budaya skuad lebih baik.
- Semua pemain kini ditempatkan di Akademi Badminton Malaysia untuk memperkemas disiplin dalam program latihan.
- Laporan Jawatankuasa Prestasi menunjukkan disiplin baik, tetapi perlu diterjemah kepada keputusan dan pencapaian positif di gelanggang.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beberapa pemain sudah diberi amaran, malah BAM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya mereka terus gagal mematuhi tahap disiplin ditetapkan.
Tindakan itu turut terpakai kepada pemain utama negara.
“Katakan pemain itu tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kita kadang-kadang tidak benarkan dia bermain di peringkat antarabangsa pun, termasuk pemain utama kita,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini.
Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul, ketegasan dalam soal disiplin penting bagi memastikan pemain senior menjadi contoh kepada pemain muda, sekali gus membentuk budaya lebih baik dalam skuad kebangsaan.
Beliau berkata, semua pemain kini berada di akademi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas disiplin dalam program latihan.
Walaupun terdapat pemain yang sebelum ini mengemukakan alasan atau rayuan, BAM akan kekal konsisten dalam melaksanakan peraturan yang ditetapkan.
“Yang penting, pemain senior perlu menunjukkan teladan dan menjadi contoh kepada pemain junior. Jadi, soal disiplin ini pada asasnya perlu bermula daripada pemain-pemain senior,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Datuk Seri Zafrul memaklumkan Laporan Jawatankuasa Prestasi menunjukkan tahap disiplin pemain ketika ini berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan peningkatan disiplin perlu diterjemahkan kepada prestasi lebih baik dan keputusan positif di gelanggang.
BAM kini mahu memastikan pembentukan budaya disiplin dalam sistem latihan bukan sekadar menjadikan pemain lebih patuh kepada peraturan, malah turut menyumbang kepada peningkatan pencapaian badminton negara.