
NEW DELHI, 12 September – Presiden China Xi Jinping menyeru negara-negara anggota BRICS agar tegas menentang sebarang bentuk pencabulan kedaulatan dan menolak dasar perlindungan (protectionism) global.
- BRICS mesti bantah pencabulan kedaulatan dan campur tangan, serta turut serta secara konstruktif dalam penyelesaian isu berbangkit.
- Xi menegaskan situasi Asia Barat dan Teluk terus bergolak, menyebabkan penderitaan dan kerugian besar kepada penduduk rantau.
- Beliau menggesa pertahankan kewibawaan PBB, tolak dasar perlindungan dan sokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan WTO.
Gesaan tersebut disuarakan beliau ketika berucap pada sidang kemuncak yang berlangsung di sini.
Lapor media kerajaan Beijing, Xi menyatakan perhimpunan kumpulan 11 negara anggota BRICS harus membantah pencabulan kedaulatan negara lain dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman mereka, serta mengambil bahagian secara konstruktif dalam menyelesaikan isu berbangkit.
“Memandangkan situasi di Asia Barat dan rantau Teluk yang terus bergolak, peperangan tersebut telah mengakibatkan penderitaan dan kerugian yang teruk kepada penduduk di seluruh rantau berkenaan,” tegas Xi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menggesa negara antarabangsa agar sentiasa mempertahankan kewibawaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menyentuh mengenai isu perdagangan, Presiden China itu menyeru semua negara supaya menolak segala bentuk dasar perlindungan dan menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Kenyataan berkenaan dikeluarkan kurang dari dua minggu sebelum Xi dijangka mengadakan lawatan ke Washington, yang merupakan pesaing utama perdagangan Beijing.- AFP