
JOHOR BAHRU, 12 September – Sebanyak 4,646 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara setakat Julai lalu, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Johor merekodkan jumlah tertinggi dengan 823 kes, meningkat daripada 518 kes tahun lalu.
- Peningkatan kes menunjukkan keperluan mempergiat advokasi dan memberi kesedaran mengenai keganasan rumah tangga serta saluran bantuan.
- Aku Wanita@KRT: 11 program di 11 negeri dengan 3,915 peserta; 267 peserta menerima sokongan K-Chat, intervensi psikologi berkumpulan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, Johor merekodkan jumlah tertinggi antara negeri yang terlibat dengan 823 kes, meningkat berbanding 518 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata peningkatan kes berkenaan menunjukkan keperluan untuk mempergiat usaha advokasi dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keganasan rumah tangga serta saluran bantuan yang tersedia.
Bagi menangani isu berkenaan, beberapa siri Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga, Aku Wanita@KRT dianjurkan.
“Sehingga 12 Ogos 2026, sebanyak 11 program Aku Wanita@KRT telah dilaksanakan di 11 negeri dengan penglibatan 3,915 peserta, manakala seramai 267 peserta telah menerima sokongan melalui K-Chat.
“K-Chat merupakan intervensi psikologi secara berkumpulan yang melibatkan pemandiri, kaunselor dan fasilitator terlatih,” katanya.
Hui Ying berkata demikian ketika ditemui pada Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) dan Hari Terbuka PRISMANITA Negeri Johor 2026.
Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga, selain meningkatkan pengetahuan mengenai saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh mangsa.