
KATHMANDU, 11 September – Kos pembinaan semula susulan banjir yang melanda Nepal akibat runtuhan glasier di kawasan pergunungan pada bulan lalu dianggarkan mencecah AS$4.78 bilion.
- Jumlah korban kedua-dua negara kini 1,428 maut dan lebih 5,649 hilang, termasuk kira-kira 800 warga asing.
- Kerajaan dan agensi menjalankan penilaian komprehensif pascabencana untuk menentukan kerugian serta keperluan pemulihan dan pembinaan semula.
- Nepal memerlukan sokongan antarabangsa jangka panjang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat persekitaran pergunungan.
- Saintis memberi amaran glasier Himalaya mencair lebih pantas akibat peningkatan suhu global, meningkatkan risiko bencana serupa.
Jurucakap Kementerian Luar Nepal, Lok Bahadur Chhetri berkata, daripada jumlah itu, kira-kira AS$57.67 juta diperlukan untuk pemulihan dan pembinaan semula jangka pendek dalam tempoh enam bulan, manakala AS$4.71 bilion lagi bagi pembinaan semula jangka panjang.
Menurut beliau, negara Himalaya itu memerlukan sokongan antarabangsa jangka panjang bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pesat persekitaran pergunungan.
Banjir besar yang membawa arus deras, lumpur dan sisa runtuhan seperti tsunami melanda kawasan di sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lalu, meragut lebih 1,400 nyawa dan menyebabkan kira-kira 5,600 orang masih hilang.
Perdana Menteri, Balendra Shah sebelum ini berkata, Nepal perlu menyuarakan dengan tegas kepada masyarakat antarabangsa mengenai bencana yang dialami negara itu akibat perubahan iklim.
Beliau dijangka membawa isu mendesak itu ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), bulan ini.
Nepal, sebuah negara yang sebahagian besarnya bergantung kepada sektor luar bandar dengan penduduk sekitar 30 juta orang menyumbang sebahagian kecil daripada pelepasan gas rumah hijau global berbanding negara-negara perindustrian.
Walaupun punca sebenar runtuhan glasier itu masih belum jelas, perubahan iklim menyebabkan glasier mencair di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya bencana seumpama itu.
Para saintis berkata glasier di Himalaya, banjaran gunung tertinggi di dunia, mencair pada kadar lebih pantas susulan peningkatan suhu global.
“Memandangkan skala dan tahap kemusnahan, kerajaan turut menjalankan penilaian komprehensif terhadap keperluan pascabencana bagi menentukan keseluruhan kerugian dan kerosakan serta keperluan untuk pemulihan, pembinaan semula dan pembangunan semula,” kata Chhetri.
Penilaian awal PBB menganggarkan kerosakan bangunan akibat banjir di Nepal sahaja berjumlah AS$158 juta, sambil memberi amaran bahawa jumlah kerugian keseluruhan termasuk kerosakan jalan raya dan jambatan, tanah pertanian serta kos kemanusiaan jauh lebih tinggi.
Pasukan penyelamat di Nepal telah menemukan 1,385 mayat, manakala kira-kira 5,130 orang masih hilang, menurut agensi bencana negara itu pada Jumaat.
Media kerajaan China pula melaporkan angka korban mencecah 43 orang, dengan 519 lagi masih hilang.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban di kedua-dua negara kini mencecah 1,428 orang, manakala lebih 5,649 masih hilang, termasuk kira-kira 800 warga asing. -AFP