
PALAWAN, 11 September – Pengawal Pantai Filipina menemukan beberapa mayat di dalam sebuah feri yang musnah dalam kebakaran, manakala puluhan lagi masih hilang.
- Lima kematian telah disahkan; jumlah mangsa dijangka meningkat.
- Kebakaran bermula di ruang kargo dan merebak pantas selepas letupan kuat.
- 30 penumpang dan 13 anak kapal diselamatkan; 84 masih belum diketahui nasib.
- Pemilik feri beri jaminan bekerjasama dalam siasatan; negara sering rekod nahas feri.
Mayat ditemukan di ruang penginapan kelas ekonomi feri M/V June Aster yang terkandas berhampiran destinasi pelancongan popular Coron, Palawan, selepas kebakaran tercetus pada Rabu.
Lima kematian telah disahkan setakat ini, namun jumlah itu dijangka meningkat.
Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Komodor Noemie Cayabyab berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan jumlah mangsa yang terlibat.
“Jumlah itu akan kami maklumkan selepas kerja pengambilan dan pemindahan mayat dilakukan,” katanya menerusi panggilan telefon, sambil memaklumkan satu mesyuarat sedang berlangsung bagi menentukan prosedur yang sesuai untuk proses berkenaan.
Menurut Cayabyab, seluruh kapal itu telah diperiksa.
Terdahulu, beliau memberitahu sebuah stesen radio bahawa kebakaran yang bermula di ruang kargo merebak ke seluruh kapal dalam tempoh beberapa saat.
“Berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, kebakaran merebak dengan pantas selepas mereka terdengar letupan kuat, sebelum melihat asap dan api muncul.
“Semuanya berlaku dalam beberapa saat,” katanya sambil menambah bahawa mereka yang berjaya keluar dari kapal itu tidak sempat memakai jaket keselamatan.
Pengawal Pantai Filipina berkata, senarai penumpang dan anak kapal feri itu menunjukkan terdapat 134 orang, namun dua daripada mereka tidak menaiki feri berkenaan.
Feri itu turut membawa barangan, sebuah kenderaan elektrik, sebuah trak pikap dan beberapa motosikal.
Setakat pagi Jumaat, seramai 30 penumpang dan 13 anak kapal berjaya diselamatkan, manakala 84 orang masih belum diketahui nasibnya.
Negara kepulauan berpenduduk 116 juta orang itu mempunyai sejarah panjang bencana melibatkan feri antara pulau yang menjadi pengangkutan utama di perairannya.
Ramai penduduk bergantung kepada bot dan kapal yang murah serta kurang dikawal selia untuk bergerak antara lebih 7,000 pulau di negara itu, walaupun kemalangan kerap berlaku.
Pada Januari lalu, sebuah feri tiga tingkat yang membawa lebih 340 orang karam di perairan selatan Filipina, mengorbankan sekurang-kurangnya 52 orang.
M/V Trisha Kerstin 3 karam di laluan yang hampir sama dengan lokasi kejadian pada 2023, apabila 31 orang maut selepas kebakaran berlaku di atas feri Lady Mary Joy 3.
Pada Khamis, syarikat yang memiliki M/V June Aster, Atienza Interisland Ferries Inc memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung kejadian itu. -AFP