Sukan Asia: Pearly Tan-M. Thinaah terus jadi sandaran pingat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 September – Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah tetap dilihat mampu menjadi pencabar pingat pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bakal berlangsung bulan ini, meskipun mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan dalam kejohanan sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih fokus pulihkan keyakinan dan prestasi, terutama Pearly yang baru pulih daripada kecederaan.
  • Prestasi mereka menurun kebelakangan ini termasuk keyakinan belum pulih, tersingkir pusingan 16 Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi.
  • Mereka sering lakukan kesilapan mudah pada mata kritikal namun motivasi dan keserasian pasangan masih kukuh.

Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak berkata, fokus kini diberikan kepada usaha mengembalikan keyakinan serta prestasi beregu wanita nombor lima dunia itu, terutama Pearly yang baharu pulih daripada kecederaan.

“Sebenarnya dari segi kemampuan, Pearly-Thinaah pada tahap terbaik mereka mampu menjadi pencabar pingat. Saya cakap secara jujur, mereka memang mempunyai kemampuan untuk mencapai tahap tersebut.

“Bagaimanapun, untuk menjadi yang terbaik, masih banyak perkara yang perlu dilakukan, termasuk dari aspek emosi, proses pemulihan serta beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian,” katanya selepas ditemui pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Menurut Rosman, prestasi Pearly dan Thinaah sejak beberapa bulan kebelakangan ini sedikit menurun, termasuk dari aspek keyakinan diri yang masih belum kembali ke tahap diharapkan.

Situasi itu dapat dilihat apabila mereka gagal melangkah ke suku akhir selepas tersingkir pada pusingan 16 terbaik Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, bulan lalu.

Bagaimanapun, Rosman berkata kesilapan yang sering dilakukan ketika permainan bukan alasan untuk mematahkan semangat juang pasangan itu.

“Apabila perkara itu berlaku, ia biasanya terjadi ketika permainan memasuki fasa penting, terutama pada mata kritikal apabila mereka benar-benar mahu memenangi perlawanan. Jadi, perkara seperti itu yang kita dapat lihat dalam permainan mereka, termasuk melakukan beberapa kesilapan mudah.

“Namun, saya faham bahawa bukan itu yang mereka mahukan. Mereka bukan sengaja melakukan kesilapan tersebut, tetapi itulah yang berlaku ketika perlawanan. Mereka juga memahami bahawa perkara itu adalah antara aspek yang perlu diperbaiki dan tidak seharusnya menjejaskan permainan mereka ketika ini.

“Bagaimanapun, dari segi motivasi dan keserasian sebagai pasangan, saya rasa mereka masih berada di landasan yang tepat. Mereka tidak berputus asa dan masih menunjukkan semangat untuk terus berjuang,” jelasnya.

Selain Pearly dan Thinaah, skuad badminton wanita negara ke Sukan Asia 2026 turut dibarisi Wong Ling Ching, Oo Shan Zi, Eng Ler Qi, Low Zi Yu, Noraqilah Maisarah Ramdan, Cheng Su Yin dan Shevon Lai, yang diketuai K. Letshanaa.

Skuad lelaki pula diwakili Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe, Kong Wei Xiang, Aaron Chia, Tee Kai Wun, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Chen Tang Jie dan Goh Soon Huat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.