Lapangan Terbang Mandalay ditutup susulan serangan dron

Foto AFP

YANGON, 11 September – Operasi penerbangan di lapangan terbang antarabangsa di bandar kedua terbesar Myanmar dihentikan, susulan serangan dron oleh pemberontak yang memerangi tentera negara itu dalam konflik berlarutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Myanmar Airways International mengumumkan semua penerbangan antarabangsa ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tada-U digantung buat sementara.
  • Penerbangan domestik dipindahkan ke lapangan terbang berhampiran sehingga pemberitahuan selanjutnya atas sebab operasi.
  • Akhbar kerajaan melaporkan pasukan keselamatan menggagalkan serangan PDF menggunakan enam dron FPV ke arah lapangan terbang.
  • Serangan menyebabkan gangguan sementara penerbangan; tiada kerosakan pada kenderaan atau landasan, dan penentang disyaki mensasarkan jet pejuang tentera.

Syarikat penerbangan domestik utama, Myanmar Airways International dalam hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan, semua penerbangan antarabangsa dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tada-U di Mandalay digantung buat sementara waktu.

Penerbangan domestik pula dipindahkan ke lapangan terbang berhampiran sehingga diberitahu kelak atas sebab operasi.

“Penerbangan ke Mandalay pada 11 dan 12 September dibatalkan ekoran penutupan lapangan terbang,” menurut seorang pegawai di pejabat Myanmar Airways International di Bangkok.

Akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar pula melaporkan, pasukan keselamatan berjaya menggagalkan serangan oleh Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF), kumpulan pemberontak prodemokrasi yang melancarkan serangan menggunakan enam dron FPV ke arah lapangan terbang itu.

“Serangan menyebabkan gangguan sementara terhadap beberapa penerbangan domestik. Bagaimanapun, tiada kerosakan terhadap kenderaan mahupun landasan lapangan terbang,” menurut akhbar itu.

Laporan lain pula menyebut, pasukan penentang menyasarkan jet pejuang tentera yang ditempatkan di lapangan terbang berkenaan.

Myanmar dilanda konflik sejak kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa pada Februari 2021, sekali gus mencetuskan gerakan penentangan di seluruh negara yang berkembang menjadi perang saudara antara tentera dengan pelbagai kumpulan bersenjata etnik serta kumpulan bersenjata prodemokrasi. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.