Bekas pendakwah bebas mengaku tidak salah miliki gambar bogel

Gambar hiasan

SHAH ALAM, 11 Sept – Seorang bekas pendakwah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki gambar bogel dan video lucah di dalam dua telefon miliknya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.
  • Pendakwa cadang jaminan RM8,000 satu penjamin; peguam mohon pengurangan kerana tiada pendapatan tetap, menanggung dua isteri, 11 anak dan ibu bapa lanjut usia dan memberi kerjasama.
  • Majistret benarkan jaminan RM5,000 seorang penjamin; sebutan semula kes ditetapkan 27 Okt untuk serahan dokumen.

Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada 6.15 petang, 1 Julai 2025 mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam A. Naveenthiran yang mewakili Faridul Firdaus memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menyara dua isteri dan 11 anak berusia dua bulan hingga 15 tahun, termasuk ibu bapa yang sudah tua.

“Dia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sejak siasatan dibuat tahun lepas, malah tiada risiko melarikan diri atau mengganggu saksi,” katanya.

Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 27 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. — BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.