Kes pengubahsuaian rumah catat aduan tertinggi TTPM Pulau Pinang

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan./ RTM

GEORGE TOWN, 11 September – Isu pengubahsuaian rumah mencatatkan jumlah aduan tertinggi bagi kategori perkhidmatan yang difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Pulau Pinang, setakat 10 September tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 68 kes pengubahsuaian rumah, kebanyakan akibat kontraktor gagal patuhi perjanjian, termasuk perbezaan harga dan kerja tidak menepati janji.
  • Pengguna dinasihatkan buat perbandingan dan semakan terperinci sebelum lantik penyedia perkhidmatan atau buat pembelian.
  • TTPM jadi saluran murah, mudah dan cepat dengan bayaran RM5, menunjukkan pengguna lebih sedar tentang hak dan pembelaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, sebanyak 68 kes tuntutan berkaitan perkhidmatan pengubahsuaian rumah direkodkan, kebanyakannya berpunca daripada kegagalan kontraktor mematuhi perjanjian asal.

Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan termasuk perbezaan harga berbanding persetujuan awal serta hasil kerja yang tidak menepati apa yang dijanjikan kepada pengguna.

Beliau menasihatkan agar pengguna lebih berhati-hati dengan membuat perbandingan serta semakan terperinci sebelum melantik penyedia perkhidmatan atau membuat sesuatu pembelian.

Katanya, peningkatan jumlah tuntutan di TTPM turut menunjukkan pengguna di Pulau Pinang semakin menyedari hak mereka serta saluran yang tersedia untuk mendapatkan pembelaan.

“Di Pulau Pinang, memang banyak kes kerana rakyat sudah sedar. TTPM ini murah, mudah dan cepat. Hanya RM5 untuk memfailkan tuntutan dan kes boleh diselesaikan dengan cepat.

“Kita mahu wujudkan satu ekosistem di mana pengguna bijak dan peniaga pula berhemah. Pengguna perlu membuat pilihan dan perbandingan sebelum membeli, manakala peniaga pula tidak mengambil kesempatan serta memberikan penerangan yang jelas,” katanya kepada pemberita RTM selepas menghadiri slot Bicara Prisma di konti MutiaraFM, di sini.

Bagi kategori perkhidmatan lain, rawatan kecantikan mencatatkan 65 kes, diikuti penyewaan rumah, hotel atau bilik dengan 38 kes.

Sementara itu, bagi kategori barangan, aduan berkaitan kenderaan atau kereta merekodkan jumlah tertinggi dengan 42 kes, diikuti perabot sebanyak 38 kes dan barangan elektrik, 35 kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.