
KUALA LUMPUR, 11 September – Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun dengan nilai jualan sebanyak RM170.5 bilion pada Julai 2026.
- Perdagangan borong kekal pemacu utama; nilai jualan RM78.4 bilion, naik 11.7% disokong oleh kumpulan lain-lain dan jualan produk petroleum.
- Subsektor runcit meningkat 6.4% kepada RM71.3 bilion, dipacu oleh kedai bukan pengkhususan seperti pasar raya dan gedung serbaneka.
- Subsektor kenderaan bermotor berkembang 7.9%, jualan kenderaan meningkat 8.3% kepada RM10.7 bilion; komponen dan penyelenggaraan turut mencatat pertumbuhan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, seiring dengan peningkatan nilai jualan, indeks volum turut meningkat 4.1 peratus.
Menurut DOSM, ketiga-tiga subsektor terus merekodkan pertumbuhan positif pada Julai 2026 dengan perdagangan borong kekal pemacu utama pertumbuhan keseluruhan.
”Kumpulan ini merekodkan nilai jualan RM78.4 bilion, meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun didorong terutamanya oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang berjumlah RM31.7 bilion.
”Selain itu, peningkatan turut disokong oleh kenaikan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG), yang sebahagiannya turut dipengaruhi oleh pergerakan harga pasaran, khususnya bagi produk berkaitan petroleum,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, jualan borong barangan isi rumah berkembang 5.2 peratus kepada RM15.5 bilion, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan, barang kemas dan pakaian.
Di samping itu, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup meningkat 9.0 peratus, terutamanya disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap minyak sawit.
Jualan borong makanan, minuman dan tembakau pula meningkat 3.9 peratus kepada RM14.7 bilion, didorong oleh peningkatan jualan beras, bijirin lain, tepung dan gula, produk tenusu dan ikan dan lain-lain makanan laut.
Subsektor perdagangan runcit terus mencatatkan prestasi positif pada Julai 2026 dengan nilai jualan meningkat 6.4 peratus kepada RM71.3 bilion.
Prestasi itu diterajui oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan, yang meningkat 7.2 peratus kepada RM27.6 bilion, disokong oleh jualan yang berterusan di pasar raya dan gedung serbaneka.
Jualan runcit barangan lain di kedai pengkhususan turut meningkat 7.6 peratus kepada RM15.1 bilion, didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan serta barang kemas.
Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan di kedai pengkhususan mencatatkan pertumbuhan 7.5 peratus, manakala jualan runcit makanan, minuman dan tembakau di kedai pengkhususan meningkat 6.4 peratus, disokong oleh peningkatan jualan produk bakeri dan konfeksi, ikan dan lain-lain makanan laut serta produk tenusu dan telur.
Tambah DOSM, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan 7.9 peratus pada Julai 2026, didorong terutamanya kumpulan Jualan kenderaan bermotor, yang meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM10.7 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif, iaitu jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (7.1 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (6.8 peratus) danjualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dan komponen dan aksesori berkaitan (10.1 peratus), disokong oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan
penyelenggaraan kenderaan dan komponen selepas jualan.
”Secara keseluruhannya, ketiga-tiga subsektor ini menyumbang RM14.1 bilion kepada peningkatan nilai jualan, dengan perdagangan borong mencatat sumbangan terbesar, diikuti perdagangan runcit dan kenderaan bermotor,” jelas kenyataan itu.