
KOTA BHARU, 11 September – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai lemas kerana terhidu asap tebal ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran yang memusnahkan rumah dua tingkat yang didiaminya di Pasar Gok Kapor, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, malam tadi.
- Mangsa ditemui terlungkup di dalam bilik air di tingkat bawah kira-kira 9.10 malam.
- Pihak bomba percaya mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap kerana tubuh tidak menunjukkan kesan melecur teruk.
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 95 peratus rumah, api dikawal pada 9.24 malam, operasi melibatkan 35 anggota.
Mangsa berusia 65 tahun ditemui terlungkup di dalam bilik air di tingkat bawah rumah berkenaan pada kira-kira 9.10 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata, mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam bilik air ketika kebakaran berlaku.
“Dalam kejadian ini melibatkan seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia iaitu seorang lelaki berbangsa Cina berumur 65 tahun. Mangsa kita temui di dalam bilik air di tingkat bawah, dia dalam keadaan terlungkup dan tidak melecur teruk,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan tubuh mangsa yang tidak mengalami kesan melecur teruk, pihaknya percaya mangsa berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap.
Mohd Fadhlizil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.43 malam sebelum tiba di lokasi pada 8.52 malam.
Katanya, kebakaran memusnahkan kira-kira 95 peratus struktur rumah, manakala api berjaya dikawal pada 9.24 malam.
“Operasi pemadaman menggunakan kaedah dua aliran pam jentera dengan empat pancutan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 35 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan, termasuk empat Pegawai Bomba Kanan II, 23 Pegawai Bomba, seorang Pegawai Bomba Bantuan dan tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pengkalan Chepa.
Menurut beliau lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.