
KUALA LUMPUR, 10 September- Sabah dan Sarawak merupakan rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta semangat perpaduan antara wilayah.
- Perpaduan dan kepercayaan antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak dijadikan kekuatan menjayakan pembangunan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
- Kepimpinan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan mengadakan perbincangan meneruskan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
- Semangat kebersamaan sejak pembentukan Malaysia 1963 mesti menjadi panduan memelihara hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perpaduan dan kepercayaan yang terbina antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, perpaduan dan kepercayaan yang terbina ini akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan kanan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Sementara itu, Datuk Seri Hajiji berkata hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak penting dalam usaha mencari penyelesaian terhadap perkara yang masih dibincangkan berkaitan MA63.
Beliau dalam ucapannya memaklumkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan mengadakan perbincangan esok bagi meneruskan usaha pelaksanaan MA63.
Katanya, semangat kebersamaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia pada 1963 perlu terus menjadi panduan dalam memelihara hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.