
SEREMBAN, 10 September – Kerjasama Ajinomoto Malaysia bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus diperluas menerusi program masakan bersama NasionalFM bagi mendekati masyarakat dengan perkongsian mengenai penyediaan makanan dan pemakanan yang lebih baik.
- Program masakan Ajinomoto mengetengahkan penyediaan makanan lebih baik serta pendedahan aspek Halal, kualiti dan keselamatan makanan.
- Ajinomoto menegaskan komitmen pengurusan Halal sejak 1965 melalui jawatankuasa dalaman yang melibatkan semua pihak pengeluaran.
- Sistem GMP dan pensijilan FSSC 22000 diaplikasi bagi mengawal keselamatan makanan serta memastikan kualiti produk.
- Inisiatif My Kurang galakkan pengurangan garam, gula dan kalori; Ajinomoto bantu pembangunan resipi oleh cef untuk kekalkan rasa.
Program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan aktiviti masakan, malah memberi pendedahan kepada pengguna mengenai aspek Halal, kualiti serta keselamatan makanan.
Timbalan Ketua Jabatan, Komunikasi Korporat dan Perniagaan Ajinomoto Malaysia Berhad, Zulkefli Kasri berkata, komitmen syarikat terhadap pengurusan Halal telah bermula lebih 60 tahun lalu, sejak 1965.
“Komitmen Ajinomoto Malaysia Berhad terhadap pengurusan Halal telah bermula lebih 60 tahun yang lalu, di mana kita bermula pada tahun 1965.
“Kita telah mendapat pengesahan Halal daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor pada waktu itu bagi kilang lama kami di Jalan Kuchai Lama,” katanya.
Beliau berkata, syarikat turut mewujudkan sistem pengurusan Halal yang komprehensif menerusi jawatankuasa Halal dalaman yang terdiri daripada semua pihak dalam proses pengeluaran.
“Dalam proses pengeluaran, kami mengimplikasikan sistem GMP, juga FSSC 22000, di mana sistem ini membantu kami dalam mengawal keselamatan makanan dan juga kualiti produk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Masakan Ajinomoto Bersama NasionalFM di Ajinomoto Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Selain itu, Ajinomoto Malaysia turut memperkenalkan Aji Mart yang menawarkan pelbagai produk makanan, penjagaan kesihatan dan barangan elektrik kepada pengunjung selepas mengikuti program atau lawatan ke fasiliti syarikat di Bandar Enstek.
Dalam pada itu, inisiatif My Kurang turut diberi perhatian dalam usaha menggalakkan masyarakat mengurangkan pengambilan garam, gula dan kalori dalam hidangan harian tanpa mengetepikan rasa.
Pengurus Pendidikan, Literasi, Promosi dan Dasar Kesihatan (HELPP), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Chan Wan Thung berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), NCSM, Ajinomoto Malaysia Berhad (AMB) dan rakan strategik lain.
“Projek ini sebenarnya memupuk gaya hidup yang sihat dan cara pemakanan yang sihat. Kami membangunkan resipi untuk penyedia perkhidmatan makanan bagi mengurangkan penggunaan gula atau garam dalam resipi-resipi ini,” katanya.
Beliau berkata, Ajinomoto Malaysia turut berperanan sebagai pakar dalam pembangunan resipi menerusi kepakaran cef bagi membantu mengurangkan penggunaan garam dalam penyediaan makanan.
Menerusi kerjasama Ajinomoto Malaysia dan RTM, mesej berkaitan pemakanan dapat disampaikan secara lebih dekat kepada masyarakat melalui medium radio, aktiviti masakan serta pengalaman secara langsung.
Pendekatan itu diharap membantu pengguna membuat pilihan makanan yang lebih bijak, bermula daripada dapur sendiri.