
PUTRAJAYA, 10 September – Dua hakim baharu, Hakim Mahkamah Rayuan, Alice Loke Yee Ching dan Hakim Mahkamah Tinggi, Elaine Yap Chin Gaik mengangkat sumpah jawatan masing-masing dalam satu istiadat di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
- Majlis dihadiri Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid.
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyerahkan surat cara pelantikan kepada kedua-dua hakim di Istana Negara pagi tadi.
- Loke pernah Peguam Kanan Persekutuan (2013-2018); Pesuruhjaya Kehakiman 2020; dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi 2023; dipindah ke KL 2025.
- Yap mempunyai Ijazah dari University of Sydney dan Diploma Timbang Tara Antarabangsa; dilantik Pesuruhjaya Kehakiman Shah Alam 2024, KL 2025.
Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia itu berlangsung di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah.
Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Loke, 64, pernah dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutuan dari 2013 hingga 2018 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Julai 2020.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 17 Januari 2023 dan ditempatkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, sebelum berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) pada 18 Ogos 2025.
Sementara itu, Yap, 53, memiliki Ijazah Sarjana Muda dari University of Sydney serta Diploma dalam Timbang Tara Antarabangsa (Diploma in International Arbitration) daripada Chartered Institute of Arbitrators.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Ogos 2024 sebelum memegang jawatan sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November 2025.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada kedua-dua hakim berkenaan dalam satu istiadat di Istana Negara, pagi tadi.