Op Mahir: Imigresen tahan 77 PATI di Nilai

Foto JIM Negeri Sembilan

SEREMBAN, 10 September – Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menahan 77 pendatang tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dalam satu serbuan menerusi Op Mahir di dua premis perindustrian di Nilai, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 65 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 50 tahun, termasuk seorang kanak-kanak; kesemua dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng.
  • Tangkapan melibatkan warga Bangladesh (39), Myanmar (29), India (6), Nepal (2) dan Indonesia (1).
  • Tiga borang saman dikeluarkan kepada majikan dan penjaga; JIM memberi amaran tindakan undang-undang terhadap majikan yang melindungi atau menggaji PATI.

Operasi selama lebih tiga jam bermula pukul 9:50 pagi berjaya menahan 65 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 50 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Mohd Razip Yasin berkata, pecahan tangkapan mengikut kewarganegaraan merangkumi 39 warga Bangladesh, Myanmar (29), India (enam), Nepal (dua) dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua individu terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga borang saman saksi turut dikeluarkan kepada majikan serta penjaga premis terbabit bagi mengarahkan mereka hadir ke pejabat JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Mohd Razip menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.