Operasi SAR lelaki dikhuatiri hilang dalam hutan di Song diteruskan hari ini

Foto JBPM Sarawak

KAPIT, 10 September – Seorang lelaki dikhuatiri hilang sejak Selasa lepas ketika berada di kawasan hutan di Ulu Sebuloh, berhampiran Rumah Surie, Nanga Temalat, Song.

RINGKASAN BERITA AI
  • Freddie Manggie, 51, masuk hutan bersama abang iparnya untuk mencari daun sabung pada pagi 8 September.
  • Mangsa mengadu sakit perut kira-kira pukul 4 petang dan meminta mencari tempat untuk membuang air besar; abang ipar cuba cari selepas lebih dua jam.
  • Operasi SAR disertai BBP Song, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk; pencarian dalam radius kira-kira tiga kilometer disambung hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, mangsa Freddie Manggie, 51, dilaporkan masuk ke hutan bersama abang iparnya sekitar pukul 7 pagi, pada 8 September lalu, bagi mencari daun sabung.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa, mangsa mengadu sakit perut sekitar pukul 4 petang dan meminta untuk mencari tempat bagi membuang air besar.

“Abang iparnya yang menunggu lebih dua jam sebelum cuba mencari dan memanggil mangsa tetapi gagal sebelum kembali ke rumah panjang serta memaklumkan kejadian kepada penduduk,” jelasnya.

Usaha mencari mangsa diteruskan empat penduduk rumah panjang pada pagi semalam, namun tidak berhasil.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

“Pencarian dilakukan dalam radius kira-kira tiga kilometer ke kawasan hutan. Operasi yang disertai enam anggota bomba itu ditangguhkan pada pukul 6 petang semalam dan akan disambung semula hari ini,” menurutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.