Mayat terikat dalam tangki kumbahan: Wang mangsa RM30,000 lesap

Gambar hiasan

NIBONG TEBAL, 10 September – Siasatan lanjut sedang dilakukan polis berhubung penemuan mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki terikat di dalam tangki kumbahan di Lorong 7, Taman Seri Bistari di sini, petang Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302; bedah siasat dan pengesahan identiti dijalankan untuk menentukan punca kematian.
  • Wang RM30,000 dipindahkan secara mendadak ke akaun kedai runcit, kemudian diarahkan dipindahkan ke akaun bank di Myanmar.
  • Keluarga tidak menerima sebarang panggilan tebusan; polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

Penemuan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an sejak 7 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan tengah malam tadi.

“Proses bedah siasat dan pengesahan identiti mayat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Seberang Perai Tengah,” katanya.

Beliau menambah, satu lagi laporan polis turut dibuat selepas anak saudara mangsa mendapati wang berjumlah RM30,000 dipindahkan secara mendadak daripada akaun mangsa ke sebuah akaun kedai runcit di Sungai Bakap.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik kedai runcit terbabit diarahkan untuk memindahkan wang berkenaan ke satu akaun bank di Myanmar,” jelas kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, pihak keluarga tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan sepanjang tempoh kehilangan mangsa.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.