
PETALING JAYA, 10 September – Selangor FC mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah FC, 2-1 dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Rabu.
- Selangor mara dengan agregat 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama di Likas.
- Beraksi di stadium kosong akibat hukuman FAM, Selangor tetap tampil agresif dan membuka jaringan menerusi Eduardo Sosa.
- Sabah menyamakan melalui Park Jung-bin, tetapi Selangor dianugerahkan penalti selepas semakan VAR.
- Ketua jurulatih Kim Pan Gon mahu pemain rehat mencukupi dan berada pada tahap terbaik sebelum menghadapi Star City FC.
Kemenangan itu menyaksikan ‘The Red Giants’ mara dengan agregat 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama di Likas minggu lalu.
Walaupun beraksi di stadium kosong akibat hukuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Selangor tetap tampil agresif dan membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi Eduardo Sosa yang menyudahkan peluang dalam kawasan penalti.
Sabah cuba bangkit menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bermula apabila Park Jung-bin memanfaatkan kesilapan tampanan Harith Haiqal Adam Afkar untuk menjaringkan gol pada minit ke-49.
Namun, kelebihan Sabah hanya bertahan tujuh minit apabila Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan Farhan Roslan mengasari Sosa dalam kotak penalti.
Chrigor Moraes menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-56 menerusi bola muntah selepas percubaan awalnya ditepis penjaga gol Sabah, Juan Flere.
Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat, sekali gus memastikan Selangor meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir Piala FA.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Kim Pan Gon berkata beliau akan memastikan kesiapsiagaan pemainnya dalam tahap terbaik sebelum bertemu dengan Star City FC pada pusingan suku akhir nanti.
‘Kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan rehat mencukupi untuk memastikan kualiti permainan berada pada tahap terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali skuad Sabah, Juan Torres Garrido menganggap pasukannya kurang bernasib baik dalam saingan kali ini selepas kecundang tipis dalam perlawanan timbal balik.
“Kami melalui permulaan yang sukar dan hampir mara namun tidak bernasib baik dengan keputusan pengadil dan kami akan terus meningkatkan prestasi untuk menjadi lebih kompetitif,” katanya.