
IPOH, 9 September – Kerajaan Negeri Perak sedang meneliti model pembiayaan bagi memperkukuh industri penjagaan warga emas atau care economy, termasuk sokongan kepada pusat jagaan harian dan penjagaan di rumah.
- Pembangunan diperkukuh melalui latihan tenaga penjaga dan sokongan kepada penyedia perkhidmatan penjagaan.
- Kerajaan negeri belum mempunyai dasar pembiayaan khusus dan menyeluruh untuk sektor berkenaan.
- Meneroka kerjasama pembiayaan bersama Kerajaan Persekutuan, Yayasan Hasanah, sektor korporat, koperasi dan perusahaan sosial.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Salbiah Mohamed, berkata pembangunan itu akan diperkukuh menerusi latihan tenaga penjaga dan sokongan kepada penyedia perkhidmatan penjagaan.
“Pada masa ini, kerajaan negeri belum mempunyai dasar pembiayaan khusus dan menyeluruh bagi tujuan tersebut.
“Namun, sokongan telah dimulakan melalui pembiayaan latihan dan pembangunan tenaga penjaga, selain kerjasama dengan institusi latihan serta pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di sini hari ini.
Sehingga Julai lalu, seramai 506 peserta telah dilatih dan dipersijilkan dalam kursus penjagaan warga emas, dengan kira-kira 80 peratus bekerja dalam industri berkenaan.
Kerajaan negeri Perak turut meneroka kerjasama pembiayaan bersama Kerajaan Persekutuan, Yayasan Hasanah, sektor korporat, koperasi dan perusahaan sosial.
Bagaimanapun, kerajaan negeri mengakui masih belum mempunyai dasar pembiayaan khusus dan menyeluruh bagi sektor berkenaan.