
PUTRAJAYA, 9 September – Kerajaan akan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi membendung peningkatan kes denggi yang ketara ketika ini.
- Semua kementerian dan agensi melaksanakan usaha bersepadu menangani peningkatan kes denggi, fokus pada zon merah.
- KPKT akan mengadakan gotong-royong besar-besaran dalam beberapa minggu akan datang untuk pembersihan dan pencegahan.
- Program Wolbachia menunjukkan kejayaan, namun fogging turut memusnahkan nyamuk Wolbachia; perlu koordinasi strategi.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha membanteras penularan denggi akan dipertingkatkan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah.
Semua kementerian dan agensi berkaitan sedang giat melaksanakan usaha bersepadu bagi menangani kes berkenaan.
“Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Program itu akan disusuli dengan kenyataan daripada pihak KPKT.
“Dalam pada itu, program pembiakan nyamuk Wolbachia telah dimaklumkan juga kepada Jemaah Menteri tentang pencapaian dan kejayaan, termasuk di Putrajaya.
“Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan apabila proses semburan kabus (fogging) dilakukan, nyamuk-nyamuk Wolbachia yang mampu merencatkan virus denggi yang disebarkan nyamuk Aedes ini.
“Jadi virus itu tidak dapat dibiakkan, dan disebarkan namun nyamuk-nyamuk Wolbachia ini akan mati kesan daripada proses fogging yang dilakukan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Fahmi, jumlah kes denggi menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus pada minggu epidemiologi ke-35, berbanding tempoh sama pada 2025’
Pada minggu epidemiologi ke-35 2025, sebanyak 39,616 kes denggi direkodkan, manakala pada tahun 2026 sebanyak 65,979 kes.
Sementara itu, jumlah kumulatif kematian akibat denggi sehingga minggu epidemiologi ke-35 tahun 2025 adalah sebanyak 32 kes, berbanding 62 kes bagi tempoh sama tahun ini sekali gus merekodkan peningkatan sebanyak 93.8 peratus.