Lebih 400 penerbangan UK dibatalkan ekoran masalah teknikal

Foto REUTERS

LONDON, 9 September – Lebih 400 penerbangan dari dan ke lapangan terbang di United Kingdom (UK) dibatalkan pada Selasa ekoran masalah teknikal yang menjejaskan perkhidmatan kawalan trafik udara negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan kawalan trafik udara Britain (NATS) melaksanakan pembaikan; sistem penerbangan mula kembali beroperasi.
  • NATS memohon maaf dan bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan serta pengendali lapangan terbang untuk memulihkan operasi.
  • Beberapa lapangan terbang terjejas termasuk Heathrow, Gatwick, Liverpool, Birmingham dan Edinburgh; Lapangan Terbang Dublin juga batalkan puluhan penerbangan.
  • Setiausaha Pengangkutan berkata juruteknik sudah kenal pasti masalah, memohon maaf dan menasihatkan penumpang semak status penerbangan.

Menurut laman penjejakan penerbangan FlightRadar24, sebanyak 425 penerbangan dari dan ke lapangan terbang Britain dibatalkan setakat pukul 5 petang waktu tempatan.

Perkhidmatan kawalan trafik udara Britain (NATS) memaklumkan, pihaknya sudah melaksanakan pembaikan dan sistem penerbangan kini mula kembali beroperasi.

“Kami terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan serta pengendali lapangan terbang bagi memulihkan operasi,” kata NATS menerusi kenyataan di platform X, sambil memohon maaf atas gangguan yang menjejaskan perjalanan penumpang.

Gangguan itu berlaku selepas masalah teknikal pada Julai tahun lalu menyebabkan puluhan penerbangan dari dan ke UK dibatalkan, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengurusan syarikat penerbangan.

Pada 2023, Britain turut berdepan kegagalan sistem kawalan trafik udara terburuk dalam tempoh hampir sedekad, yang menyebabkan ratusan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan serta menjejaskan lebih 700,000 penumpang.

Lapangan Terbang Heathrow, yang merupakan lapangan terbang terbesar dan paling sibuk di Britain antara yang terjejas dalam gangguan pada Selasa, selain Lapangan Terbang Gatwick di selatan London, serta lapangan terbang di Liverpool, Birmingham dan Edinburgh.

Lapangan Terbang Dublin di Ireland turut memaklumkan puluhan penerbangan dibatalkan.

Setiausaha Pengangkutan Britain, Heidi Alexander berkata, beliau menyedari masalah teknikal yang menjejaskan penerbangan di beberapa lapangan terbang termasuk Heathrow dan Gatwick.

“Juruteknik sudah mengenal pasti masalah berkenaan dan sedang memulihkan keadaan.

“Saya tahu keadaan ini mengecewakan penumpang dan saya memohon maaf,” katanya menerusi media sosial, sambil menasihatkan penumpang supaya menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.