
KUALA LUMPUR, 6 September – Satu mesyuarat khas penyelarasan tindakan dan kesiapsiagaan agensi Labuan diadakan hari ini, bagi menilai status terkini di pulau itu berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada antara 150 dan 170 dalam tempoh 24 jam.
- Mesyuarat memberi tumpuan kepada penilaian risiko keselamatan dan kesihatan awam termasuk aspek persekolahan serta penyelarasan tindakan segera dan susulan antara agensi.
- Agenda utama merangkumi pelaporan status kualiti udara semasa, pelan komunikasi dan hebahan maklumat kepada orang awam.
- Mesyuarat diketuai oleh Ketua Polis mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dan dihadiri wakil JAS, APM, Jabatan Pendidikan serta agensi berkaitan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menersui hantaran Facebook memaklumkan, perbincangan memberi tumpuan kepada penilaian risiko terhadap keselamatan dan kesihatan awam, termasuk aspek persekolahan, selain menyelaras tindakan segera dan susulan antara agensi.
“Objektif utama mesyuarat ini memfokuskan kepada penilaian risiko terhadap keselamatan dan kesihatan awam, persekolahan serta menyelaraskan tindakan segera dan susulan di antara semua agensi yang terlibat.
“Agenda utama merangkumi pelaporan status kualiti udara semasa, pelan komunikasi dan hebahan maklumat kepada orang awam, serta penyelarasan tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku peningkatan tahap pencemaran udara,” menurut hantaran itu.
Mesyuarat yang berlangsung pada 9 pagi di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan itu, dipengerusikan Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Wan Firdaus Wan Zaki yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil JAS, APM, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta agensi berkaitan.
“Kerjasama erat antara agensi-agensi ini mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam pengurusan risiko bencana bagi memastikan tahap kesihatan dan kesejahteraan warga Labuan sentiasa terjamin,” tambah hantaran itu.