
KUALA LUMPUR, 6 September – Komuniti MADANI perlu memainkan peranan lebih besar sebagai jambatan dua hala yang bukan sahaja menyampaikan maklumat kerajaan, malah peka mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.
- Pastikan dasar dan inisiatif kerajaan sampai kepada sasaran serta salurkan suara masyarakat kepada pihak berkuasa.
- Proaktif bertindak susulan; salurkan isu akar umbi kepada agensi berkaitan untuk tindakan segera.
- Kukuhkan hubungan jiran dan perpaduan kaum untuk meningkatkan kebajikan serta memudahkan kerjasama bantuan komuniti.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, peranan itu penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan sampai kepada sasaran, selain menyalurkan suara masyarakat kepada pihak berkuasa secara berkesan.
Beliau berkata, sebagai mata dan telinga kerajaan, ahli komuniti perlu proaktif mengambil tindakan susulan dengan menyalurkan sebarang isu dihadapi masyarakat kepada agensi atau pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Jadi ini yang dikatakan mata dan telinga kerajaan, mereka perlu mahir, mahir dan pada masa sama bantu lihat apa masalah yang berlaku dan ambil tindakan susulan.
“Kebajikan, hubungkan dengan agensi berkenaan, maklumat kerajaan, sampaikan maklumat yang tepat kerana sekarang ini banyak berita palsu,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Nor Maizatul Akmal Pujat serta Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak, Jonathan Bella.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Duta Komuniti MADANI kepada Azizi Anas dan S. Yugan, selain watikah pelantikan kepada wakil daripada enam subzon Parlimen Bandar Tun Razak.
Komuniti MADANI merupakan penjenamaan semula daripada 1,878 Komuniti Keluarga Malaysia susulan pelancaran gagasan Malaysia MADANI pada 19 Jan 2023.
Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, walaupun Komuniti MADANI mungkin tidak mampu menyelesaikan semua permasalahan yang dibangkitkan, jaringan itu perlu memastikan setiap isu sampai kepada pihak yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada hubungan antara jiran dan kesediaan masyarakat pelbagai kaum serta latar belakang untuk saling membantu dan bekerjasama.