
SINTOK, 6 September – Langkah Kerajaan Madani bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan segala pengesyoran yang diberikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk membersihkan institusi awam dan memastikan tiada lagi ruang untuk penyelewengan berlaku.
- Siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh, profesional dan tanpa kompromi hingga ke akar umbi.
- Proses siasatan mesti bebas, adil dan tidak memilih bulu; semua pihak disiasat berdasarkan masa dan bukti.
- Kepatuhan kepada prinsip keadilan serta ketelusan penting untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap TH.
- Kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong menegaskan RCI dilaksanakan bertanggungjawab, telus serta menyiasat sebarang penyelewengan hingga ke akar umbi.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mashitah Mohd Udin berkata, ia adalah satu keputusan yang berani dan mencerminkan komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip reformasi, ketelusan dan akauntabiliti.
“Saya berpandangan siasatan ini perlu dijalankan secara menyeluruh, profesional dan hingga ke akar umbi tanpa sebarang kompromi.
“Namun, perkara paling penting ialah proses siasatan mesti bebas, adil dan tidak memilih bulu. Kita tidak mahu wujud pendakwaan terpilih. Semua pihak yang terlibat perlu disiasat berdasarkan tempoh masa dan bukti yang ada, tanpa mengira latar belakang politik atau jawatan.
“Apabila prinsip ini dijaga, barulah proses siasatan dapat diterima rakyat serta mengembalikan keyakinan dan kepercayaan mereka sepenuhnya terhadap TH,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau percaya bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, usaha itu dapat memulihkan institusi TH agar terus menjadi kebanggaan umat Islam dan berfungsi dengan lebih telus, berintegriti serta berdaya saing pada masa hadapan.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, Kerajaan Madani akan memastikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan, termasuk menyiasat sebarang penyelewengan hingga ke akar umbi.
Perkara itu selaras dengan titah perkenan serta ketegasan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu sebarang penyelewengan disiasat secara menyeluruh.