
SHAH ALAM, 6 September – Biarpun turun beraksi ketika demam, atlet para powerlifting Terengganu, Muhammad Shazmin Syamsuar, tetap mempamerkan semangat juang tinggi apabila merangkul pingat emas kategori lelaki bawah 59 kilogram pada Para SUKMA Selangor 2026, hari ini.
- Melakukan tiga angkatan bersih 120, 130 dan 136 kilogram untuk muncul juara.
- Perak milik Rafli Suhaili (110 kg), gangsa Muhammad Bukhari Md Zan (101 kg).
- Kejayaan hasil kerja keras dan disiplin latihan intensif, menebus kekecewaan meraih perak sebelum ini.
- Sasaran wakil negara ke Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia selepas pengalaman keempat di Para SEA Korat.
Beraksi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Selangor, atlet berusia 25 tahun itu melakukan tiga angkatan bersih masing-masing 120, 130 dan 136 kilogram untuk muncul juara.
Pingat perak menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan Labuan, Rafli Suhaili dengan angkatan terbaik 110 kilogram, manakala wakil Johor, Muhammad Bukhari Md Zan meraih gangsa dengan 101 kilogram.
Shazmin berkata kejayaan itu amat bermakna selepas kerja keras dan disiplin latihan intensif yang dilaluinya membuahkan hasil, selain menebus kekecewaan meraih perak pada edisi terdahulu.
Katanya, walaupun demam pada hari pertandingan, beliau menggagahkan diri untuk terus beraksi dan memberikan yang terbaik.
“Latihan kali ini memang sangat keras dan saya bersungguh-sungguh bangun seawal pukul 6 pagi setiap hari. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan jurulatih seperti Coach Jamil, Coach Wan, Coach Fai dan Coach Fadli yang banyak menyokong saya,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik kelahiran Kuala Terengganu itu kini menyasarkan tempat untuk mewakili negara pada Sukan Para ASEAN 2027 yang dijadual berlangsung di Malaysia.
Shazmin sebelum ini pernah mewakili negara pada Para Sukan SEA di Korat, Thailand, dengan menamatkan saingan di tempat keempat.
“Insya-Allah, kejayaan emas ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus melakukan yang terbaik demi mewakili negara pada 2027 nanti,” katanya.