
GEORGE TOWN, 5 Sept – Pasukan bomba mengambil masa lebih 14 jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran yang memusnahkan lima premis perniagaan berhampiran Jeti Chew, di sini hari ini.
- Api berjaya dipadamkan pada 6.20 pagi; pemeriksaan dan overhaul selesai sepenuhnya pada 5 petang.
- Empat kenderaan musnah: Honda City, Mercedes-Benz, BMW dan Suzuki Swift.
- Operasi melibatkan 25 anggota bomba dari BBP Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong.
- Bantuan datang daripada 18 pasukan bomba sukarela, polis dan TNB; lima jentera digunakan termasuk LFRT, FRT dan jengkaut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata api berjaya dipadamkan pada 6.20 pagi, manakala kerja pemeriksaan dan overhaul bagi memastikan tiada bahaya lain atau bara api yang boleh menyebabkan kebakaran selesai sepenuhnya pada 5 petang tadi.
“Api berjaya dipadamkan pada 6.20 pagi. Kebakaran terbabit turut memusnahkan empat kereta iaitu Honda City, Mercedes-Benz, BMW dan Suzuki Swift,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman membabitkan 25 anggota bomba termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong.
Operasi turut dibantu 18 Pasukan Bomba Sukarela berhampiran, selain polis dan pihak Tenaga Nasional Berhad.
John berkata lima jentera digunakan dalam operasi berkenaan, termasuk Light Fire Rescue Tender (LFRT), Fire Rescue Tender (FRT), tangki air, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah jengkaut.
Dalam kejadian 1.08 pagi tadi, lima premis perniagaan termasuk bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu musnah dalam kebakaran.
Terdahulu, Pegawai Operasi Zon 1, Daerah Timur Laut, Penolong Penguasa Bomba Rusli Ibrahim berkata pihak bomba tiba di lokasi kira-kira dua minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan stesen minyak berdekatan serta mengelakkan api daripada merebak ke kawasan perumahan sekitar lokasi kejadian.
“Kebakaran merebak dengan cepat kerana premis terbabit merupakan bangunan kelas C, menyebabkan api mudah merebak dari satu kedai ke kedai yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.