Kasih MADANI dicadang diperluas menerusi Belanjawan 2027

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau akan mengemukakan cadangan supaya program Kasih MADANI dimasukkan dalam Belanjawan 2027./ BERNAMA

BUTTERWORTH, 5 Sept – Program Kasih MADANI yang menyediakan latihan dan pengiktirafan kepada pengasuh di rumah dicadang diperluas menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan lebih ramai wanita bekerja mendapat sokongan dalam aspek penjagaan dan keselamatan anak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan Kasih MADANI melatih lebih pengasuh untuk sokong wanita bekerja dan pastikan keselamatan serta kualiti penjagaan kanak-kanak.
  • Pengiktirafan pengasuh melalui latihan meningkatkan martabat profesion dan mutu perkhidmatan asuhan.
  • Perlindungan kanak-kanak mesti berterusan hingga ke sekolah melalui dasar menyeluruh, melibatkan semua pihak.

Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau akan mengemukakan cadangan supaya program berkenaan dimasukkan dalam Belanjawan 2027 bagi membolehkan lebih ramai pengasuh menerima latihan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.

“Pengasuh yang mempunyai latihan, yang mempunyai penguasaan ilmu pengasuhan ini sangat penting dalam masyarakat. Bukan sahaja ia memberikan ruang kepada ibu-ibu yang bekerja untuk fokus kepada pekerjaan mereka kerana isu keselamatan anak-anak telah diambil alih oleh pengasuh yang terlatih.

“Tidak cukup setakat 1,000 orang yang kita ada setakat ini, dan program ini mesti ditambah dan diperbaiki, serta diberikan pengkhususan dalam komuniti ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan menerusi latihan Kasih MADANI juga penting dalam meningkatkan martabat profesion pengasuh, selain memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di rumah dan komuniti.

Datuk Seri Fadhlina berkata pengasuh yang menerima tauliah Kasih MADANI seharusnya berbangga kerana peranan mereka secara langsung menyokong wanita bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, kepentingan sokongan kepada pengasuh amat dekat dengan dirinya berdasarkan pengalaman sebagai ibu kepada enam anak yang pernah berdepan cabaran mendapatkan pengasuh ketika bekerja sebagai peguam.

“Tiga daripada enam anak saya pernah dihantar kepada pengasuh, malah anak kedua pernah menjadi mangsa penderaan oleh pengasuh sehingga saya dibelenggu rasa bersalah dan trauma.

“Itulah pengalaman yang kemudiannya membuatkan saya berpandangan pengasuh mesti mempunyai satu komitmen dan juga tanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pendidikan, berkata perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya terhenti di peringkat pengasuhan, sebaliknya perlu diteruskan apabila mereka memasuki alam persekolahan menerusi pelaksanaan dasar perlindungan kanak-kanak secara menyeluruh.

“Sebab itu di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan) kita teruskan dengan Dasar Perlindungan Kanak-kanak di peringkat sekolah. Jadi, semua orang ada tanggungjawab, daripada peringkat anak-anak di bawah jagaan pengasuh sehingga ke sekolah. Semua terlibat dengan perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata dirinya turut melalui pengalaman kehilangan anak keempat akibat Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), yang menyebabkan beliau berdepan dilema sama ada meneruskan kerjaya atau menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak.

Bagaimanapun, sokongan keluarga besar termasuk adik-beradik banyak membantu memastikan anak-anak mendapat penjagaan sewajarnya ketika beliau bekerja.

Beliau memaklumkan, lebih 1,000 pengasuh di Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang telah mendapat manfaat menerusi inisiatif Kasih MADANI sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas.

Mereka diberikan pengetahuan, kemahiran serta sokongan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengasuhan.

Kasih MADANI diuruskan Merdeka Center dengan sokongan Kementerian Kewangan melalui Yayasan Sime Darby, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di Malaysia melalui pemerkasaan pengasuh di rumah dan komuniti.

Datuk Seri Fadhlina berkata demikian selepas merasmikan Gala Pesona Kasih MADANI di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby Dr Yatela Zainal Abidin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.