Penentuan laluan syurga bukan hak pemimpin, bertentangan dengan firman Allah

Foto Facebook Dr Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 5 September – Penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT semata-mata, tiada mana-mana individu, pemimpin, atau wadah politik yang mempunyai autoriti untuk menjamin laluan ke syurga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuduhan bahawa sokongan kepada organisasi tertentu menjamin syurga bertentangan dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 111.
  • Mengaku kumpulan suci dan memuji diri sendiri adalah ghuluw, dilarang keras dalam Islam.
  • Keredaan Allah diperoleh melalui iman ikhlas, ketakwaan, dan amalan soleh menurut al-Quran dan sunnah, bukan keahlian politik.
  • Berpolitik mesti matang dan berakhlak, utamakan keadilan serta kemaslahatan ummah; parti politik hanyalah wasilah, bukan pengganti agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam hantaran Facebook, mendakwa sokongan kepada organisasi tertentu sebagai syarat ke syurga seolah-olah mempertikai hak Allah SWT serta bertentangan dengan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 111 yang menegur sikap mendakwa syurga hanya milik kelompok sendiri.

“Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat Allah merupakan bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam.

“Syarat utama untuk meraih keredaan dan rahmat Allah adalah keimanan yang ikhlas, ketakwaan, serta amalan soleh mengikut ajaran al-Quran dan sunah, bukannya borang keahlian atau sokongan kepada mana-mana bendera politik,” menurut hantaran itu.

Pada masa sama, semua pihak diseru agar berpolitik dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah.

Parti politik hanyalah satu wasilah (alat atau perantara) usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad, bukannya agama itu sendiri.

Beliau mengulas demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa menyokong atau masuk PAS membolehkan seseorang masuk syurga adalah bersandarkan perjuangan parti berteraskan Islam sehingga mencetuskan pelbagai reaksi hangat dalam arena politik negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.