Mayat terakhir di Pantai Tanjung Lompat ditemukan

Mayat terakhir dalam insiden lemas di Pantai Tanjung Lompat, Desaru Mohamad Haiman Fitri Supian, 16 tahun, ditemukan orang awam berdekatan Tanjung Siang

KOTA TINGGI, 5 September Mayat terakhir dalam insiden lemas di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, di sini pada Rabu lalu, ditemukan, kira-kira pukul 3.05 petang tadi, pada kedudukan, 12 kilometer dari lokasi kejadian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat terakhir ditemukan kira-kira pukul 3.05 petang pada kedudukan 12 kilometer dari lokasi kejadian.
  • Mangsa dibawa ke Pusat Kawalan untuk pengecaman keluarga, lalu ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
  • Operasi SAR meliputi kira-kira 139 batu nautika dan ditamatkan petang itu selepas semua empat mangsa ditemukan.

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, mangsa dikenal pasti, Mohamad Haiman Fitri Supian, 16 tahun, ditemukan orang awam berdekatan Tanjung Siang.

Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan tempat kejadian kira-kira pukul 4.30 petang untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga, sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, untuk dibedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini meliputi kawasan kira-kira 139 batu nautika. Memandangkan mangsa terakhir telah ditemukan, kita akan menamatkan operasi SAR di laut,” katanya ketika ditemui RTM.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Syamsuri Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa lemas itu ditamatkan selepas semua urusan berkaitan selesai.

“Alhamdulillah, kesemua empat mangsa yang lemas telah ditemukan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan ditamatkan petang ini selepas semua urusan berkaitan selesai. Mangsa terakhir yang disahkan ialah Mohamad Haiman,” katanya.

Operasi SAR, ditamatkan pada pukul 5.00 petang, selepas kesemua empat mangsa lemas yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu, ditemukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.