
KULAI, 5 Septemer – Kementerian Komunikasi menyarankan platform Meta supaya dapat melaksanakan sekatan tambahan ke atas pengguna bawah 18 tahun di seluruh dunia dan tidak hanya tertumpu kepada pengguna di Amerika Syarikat sahaja.
- Kementerian menyarankan Meta melaksanakan sekatan tambahan untuk pengguna bawah 18 tahun di seluruh dunia, bukan hanya di Amerika Syarikat.
- Langkah Meta termasuk menghentikan ciri infinite scroll, menghentikan paparan kandungan automatik dan menyembunyikan jumlah tanda suka.
- Meta mencadangkan had masa penggunaan dan sekatan waktu malam khusus untuk pengguna bawah 18 tahun.
- Cadangan dibuat susulan saman negeri-negeri AS mengenai ketagihan media sosial dan keselamatan kanak-kanak; akses platform masih dibenarkan.
Menurut Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, sekatan tambahan itu sesuai dilaksanakan khususnya di Malaysia dalam usaha melaksanakan sekatan akses media sosial ke atas kanak-kanak bawah 16 tahun.
“Meta akan menghentikan ciri ‘infinite scroll’ kerana ia merupakan antara ciri yang boleh menyebabkan ketagihan dalam kalangan pengguna.
“Selain itu, semua kandungan yang dipaparkan secara automatik melalui suapan (feed) akan dihentikan, manakala Meta turut berjanji untuk menyembunyikan jumlah tanda suka (like) pada kandungan,” katanya.
Meta juga bakal melaksanakan beberapa sekatan tambahan termasuk had penggunaan serta sekatan pada waktu malam bagi pengguna bawah 18 tahun.
Teo Nie Ching berkata, langkah itu antara usaha yang dicadangkan susulan tindakan saman beberapa negeri di Amerika Syarikat terhadap platform Meta berhubung isu ketagihan media sosial serta keselamatan kanak-kanak bawah 18 tahun.
Bagaimanapun, meski sekatan tambahan itu diperkenalkan, pengguna dalam kumpulan umur berkenaan masih boleh mengakses semua platform media sosial.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau kerosakan gelanggang futsal Taman Desa Kulai, di sini yang mengalami kerosakan selepas dinaik taraf dua tahun lalu.
Teo Nie Ching berharap Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dapat membaik pulih gelanggang berkenaan dengan segera bagi mengelakkan bahaya dalam kalangan kanak-kanak.