AS kenakan sekatan terhadap bank Turkiye kerana bantu Iran

Foto REUTERS

WASHINGTON, 5 September -Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengenakan sekatan terhadap sebuah bank pelaburan Turkiye dan dua anak syarikatnya kerana didakwa membantu memudah cara perdagangan dan urus niaga kewangan berkaitan Iran, termasuk pemindahan hasil minyak negara itu dari China ke Turkiye.

RINGKASAN BERITA AI
  • OFAC memasukkan ketiga entiti ke dalam Senarai SDN, membekukan aset mereka dan mengharamkan urus niaga tertentu di bawah undang-undang AS.
  • Jabatan Perbendaharaan mengeluarkan lesen am untuk membolehkan penamatan urus niaga dengan entiti terbabit secara berperingkat.
  • Golden Global menafikan dakwaan, menegaskan pematuhan undang-undang dan merancang tindakan undang-undang terhadap dakwaan tidak berasas.

Jabatan Perbendaharaan AS dalam kenyataan berkata sekatan itu dikenakan terhadap Golden Global Yatirim Bankasi Anonim Sirketi yang berpangkalan di Istanbul, pengurus aset Golden Global Portfoy Yonetimi Anonim Sirketi serta syarikat pajakan aset Golden Global Varlik Kiralama Anonim Sirketi.

Jabatan itu mendakwa bank berkenaan membantu rangkaian perbankan Iran memindahkan hasil minyak dari China ke Turki sebelum dana berkenaan ditukar kepada tunai dan emas melalui pengurup wang.

Golden Global turut didakwa menyediakan perkhidmatan perbankan kepada institusi kewangan Iran, yang membolehkan urus niaga dijalankan melalui akaun yang dikawal Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC-QF) dan rangkaian proksinya.

Tindakan itu merupakan kali pertama sebuah bank anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dikenakan sekatan dalam kempen terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran.

Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan memasukkan ketiga-tiga entiti itu ke dalam Senarai Warganegara dan Individu yang Ditetapkan Secara Khusus (SDN).

Tindakan berkenaan bermakna aset dan kepentingan aset milik entiti yang dikenakan sekatan dan berada di Amerika Syarikat atau dalam kawalan individu atau syarikat AS dibekukan, manakala urus niaga tertentu turut dilarang.

Jabatan Perbendaharaan pada masa sama mengeluarkan lesen am yang membolehkan urus niaga dengan entiti berkenaan ditamatkan secara berperingkat.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent berkata tindakan itu menghantar mesej jelas kepada institusi kewangan yang membantu perdagangan dan urus niaga berkaitan Iran serta IRGC.

“Kami tahu siapa anda, kami tahu di mana anda berada dan kami akan terus mengambil tindakan bersama sekutu serta rakan sehingga kami menamatkan ancaman Iran,” katanya dalam kenyataan.

Bessent turut berkata sekatan AS di Selat Hormuz telah menghalang penghantaran minyak mentah Iran ke China, sekali gus memberi tekanan kepada Beijing yang bergantung kepada minyak mentah Iran dan Tehran yang memerlukan hasil eksport bagi meneruskan perang.

Sementara itu, Golden Global Yatırım Bankası menolak dakwaan Jabatan Perbendaharaan AS berhubung penglibatannya dalam urus niaga berkaitan Iran.

Bank itu berkata pihaknya mematuhi semua keperluan perbankan dan pematuhan di peringkat tempatan serta antarabangsa, selain akan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan yang disifatkannya tidak berasas.

Bank berkenaan turut menegaskan bahawa individu dan entiti yang dinamakan dalam keputusan sekatan OFAC bukan pelanggannya dan pihaknya tidak mempunyai sebarang urusan secara langsung atau tidak langsung dengan mereka.

Menurut pangkalan data TheBanks.EU, Golden Global Yatirim Bankasi mempunyai jumlah aset kira-kira 25 bilion lira Turkiye atau (AS$516.63 juta) pada 2025. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.